Kenaikan harga barang secara umumnya tidak berlaku selepas penyasaran subsidi diesel.
Hal itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Senator Fuziah Salleh di Dewan Rakyat sesi pagi.
Katanya, pihak KPDN telah mula turun padang mengambil data harga barangan sejak 2 Mei 2024 bertujuan membuat perbandingan harga selepas penyasaran subsidi diumumkan pada 10 Jun.
"Dari 2 Mei, sebulan sebelum lancar Op Kesan, sebelum kerajaan melancarkan penyasaran subsidi, KPDN telah memulakan operasi pra Op Kesan. Kita telah mula turun padang dan kutip data harga barang lebih kurang 1,772 SKU harga barang sebelum subsidi bermula untuk membandingkan harga selepas penyasaran susbidi.
"Selepas subsidi (bersasar) diumumkan kita telah pun memeriksa lebih kurang 2,790 premis. Setakat 23 Jun kita telah keluarkan 210 notis bertulis dan membuka 7 kertas siasatan," katanya dalam menjawab soalan Datuk Sri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian).
Menurut Fuziah, berlaku pihak peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang selepas penyasaran subsidi.
Namun katanya, tindakan pantas yang diambil KPDN menyebabkan pihak peniaga kini berfikir banyak kali untuk menaikkan harga jualan.
"Yang kita dapati bahawa beberapa hari pertama, ada pihak ambil kesempatan tetapi setelah kita keluar notis, panggil mereka ke pejabat, kita minta mereka jawab kenapa harga naik.
"Justeru kita dapati data terkini (harga barang) dalam keadaan terkawal. Yang nak ambil kesempatan berfikir banyak kali," katanya lagi.
Untuk rekod kerajaan menukar amalan subsidi pukal diesel kepada polisi penyasaran subsidi pada 10 Jun lalu. Berikutan itu terdapat rungutan berlaku kebaikan harga barang.
Comments