
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di 95 lokasi di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh dipetik laporan media berkata, usaha itu bertujuan menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga lebih berpatutan, dengan tumpuan khas kepada Menu Rahmah yang dijual pada harga tidak melebihi RM5.
Selain membantu meringankan beban keluarga, inisiatif tersebut juga diharap turut menggembirakan anak-anak kecil yang sedang belajar berpuasa.
"Kita faham pada bulan Ramadan, ramai ibu bapa membawa anak-anak ke bazar. Kadang-kadang, anak-anak ingin mencuba pelbagai jenis makanan dan ini boleh memberi tekanan kepada ibu bapa dari segi perbelanjaan.
"Dengan adanya gerai khas Menu Rahmah, mereka tidak perlu bersusah payah mencari makanan murah. Di satu tempat sahaja mereka boleh mendapatkan pelbagai pilihan seperti nasi campur, kuih-muih dan hidangan lain pada harga berpatutan," katanya selepas menghadiri satu acara di Indera Mahkota, Pahang pada Khamis.
Beliau sementara itu turut memaklumkan enam BRR akan dianjurkan Pahang iaitu di Mahkota Square Indera Mahkota, bandar Jerantut, Taman Temerloh Jaya (Temerloh), Muadzam Shah (Rompin), Dataran Kerayong (Bera) dan bandar Raub.
Sementara itu menurut beliau, BRR turut mengambil langkah proaktif menggalakkan perniagaan berkonsepkan digital khususnya melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).
Langkah itu jelasnya bertujuan meningkatkan pendedahan peniaga dan pengguna kepada kemudahan e-wallet dan pembayaran tanpa tunai.
Dalam perkembangan berkaitan Dr Fuziah berkata, program My Safe Food juga diteruskan bagi menyelamatkan makanan lebihan, sekali gus mengelakkan pembaziran pada Ramadan.
Menurutnya, makanan yang masih elok akan dikumpulkan antara 15 hingga 30 minit sebelum azan Maghrib dan diagihkan kepada keluarga yang memerlukan atau pelajar.
"Inisiatif ini bukan sahaja membantu peniaga dan pengguna malah turut mengurangkan pembaziran makanan, selari dengan konsep Rahmah dalam pelbagai aspek kehidupan sepanjang Ramadan," katanya lagi.
Comments