
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan langkah intervensi segera dalam menstabilkan bekalan minyak masak botol di pasaran termasuk memberi insentif khas kepada syarikat pembungkusan bagi memenuhi keperluan pasaran pada masa ini.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah yang telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu setelah beliau mendengar taklimat berhubung gangguan bekalan bahan makanan itu.
"KPDN amat menghargai keprihatinan dan keputusan segera Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang mempertimbangkan serta-merta insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol.
"(Ini) untuk memastikan rakyat mendapat bekalan minyak masak kemasan botol yang stabil di pasaran khususnya sepanjang bulan Ramadan dan Syawal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata insentif khas itu bagi memastikan syarikat pembungkusan minyak mengeluarkan bekalan minyak dengan segera untuk pasaran.
"KPDN diarahkan meminta syarikat pembungkusan minyak masak kemasan botol mengembalikan pengeluaran pada kadar mencukupi untuk keperluan semasa," katanya.
Beliau berkata gangguan bekalan minyak masak berlaku antaranya akibat kenaikan kos pengeluaran berikutan harga minyak sawit mentah dunia (CPO) meningkat sejak dua tahun lalu.
Bagi dua bulan pertama tahun ini, harga purata CPO adalah RM4,672.50 pada Januari dan RM4,759 pada Februari, kata beliau.
"Susulan kesan harga tinggi CPO, syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengurangkan pengeluaran untuk mengawal kos pengeluaran kerana terikat dengan perintah penjualan harga kawalan maksimum minyak kemasan botol yang berkuat kuasa.
"Perintah itu mewajibkan penjualan pada peringkat runcit minyak kemasan botol lima kilogram adalah pada kadar RM30.90 berbanding harga pasaran berdasarkan kadar CPO dunia iaitu RM36.16," katanya melalui kenyataan.
Pada masa sama, katanya KPDN mempertingkat penguatkuasaan untuk memastikan tidak ada aktiviti penyorokan dan penyelewengan semua jenis bekalan minyak masak.
"KPDN akan memastikan arahan dan keputusan hari ini dilaksanakan untuk memastikan syarikat terbabit mula meningkatkan semula kadar proses pengeluaran minyak kemasan botol masing-masing secara serta-merta.
"Ia bagi membolehkan bekalan kembali stabil segera dalam masa terdekat," ujarnya.
Comments