Oleh: Senator Dr Zulkifli Hasan
ULASAN: Setinggi tahniah kepada semua yang terpilih menjadi dhuyufurrahman untuk ibadah haji 1446H. Tabung Haji telah mula mengeluarkan surat tawaran secara berperingkat kepada yang terpilih untuk menunaikan haji tahun ini. Kuota rakyat Malaysia adalah tertakluk kepada kuota rasmi yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi berdasarkan keputusan Mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Islam Sedunia pada 1988.
Penulisan ringkas ini bertujuan untuk berkongsi sedikit pengetahuan dan juga ingatan kepada semua mengenai haji bagi panduan bersama. Ada banyak perkara yang kita perlu terus belajar (learn) dan ada juga keperluan membuang pemahaman pernah dipelajari yang tidak betul (unlearn) dan sentiasa bersedia untuk belajar semula (relearn).
Kadangkala ada pemahaman berakar sekian lama yang memerlukan pembetulan dan islah seperti konsep istito’ah atau kemampuan menunaikan haji.
Konsep istito’ah dan peranan Tabung Haji
Rasulullah SAW sepanjang hidupnya menunaikan umrah sebanyak empat kali dan haji sekali. Sebagai rukun Islam yang kelima, haji merupakan satu kefardhuan bagi setiap muslim, namun syariat mengikatnya dengan syarat ‘kemampuan’ bagi seorang muslim untuk diwajibkan memenuhi perintah haji sebagaimana yang termaktub dalam firman Allah SWT:
"Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas, (di antaranya) maqam Ibrahim. Barangsiapa memasukinya (Baitullah) amanlah dia. Dan (di antara) kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, yaitu bagi orang-orang yang MAMPU mengadakan perjalanan ke sana. Barangsiapa mengingkari (kewajiban) haji, maka ketahuilah bahwa Allah Mahakaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam." (Surah Ali Imran, 3: 97)
Prinsip istito’ah atau kemampuan sebagai syarat wajib untuk menunaikan haji merangkumi pelbagai aspek, termasuk kewangan (al-maliyah), kesihatan fizikal dan mental (al-badaniyah), keselamatan (al-amniyah) serta kemampuan keselamatan diri termasuk mempunyai kenderaan, tiket kapal terbang dan kelulusan mendapatkan visa haji. Oleh itu, setiap individu perlu menilai dengan teliti keupayaan diri sebelum melangkah ke Tanah Suci.
Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-35 Musim Haji 1439H/2018M memutuskan bahawa istito’ah ialah syarat utama untuk pelaksanaan haji. Konsep istito’ah hendaklah dilihat dari semua sudut selaras dengan mafhum nas al-zad wa al-rahilah (ada bekalan dan keperluan), amn al-tariq (aman dalam perjalanan) dan juga tasrih (kuota dan visa kebenaran haji).
Ijtihad bantuan kewangan haji
Walau apa pun keputusan yang dibuat oleh Tabung Haji sama ada meneruskan atau menamatkan atau menyamaratakan bantuan kewangan haji, sudah pasti ada sahaja pihak yang tidak berpuashati. Umumnya, Tabung Haji telah membuat pertimbangan sebaiknya dengan mengambil kira semua aspek dan kemaslahatan menerusi ketetapan pengekalan kos haji seperti tahun lepas secara keseluruhan.
Dalam usaha meringankan kemampuan jemaah haji, kerajaan telah memperkenalkan bantuan kewangan haji sejak tahun 2001. Ini selari dengan konsep ihsan dalam meringankan sedikit keperluan dan persediaan melaksanakan rukun Islam ini. Ketika bantuan ini diperkenalkan, kos ini hanya merangkumi jumlah 10% dari keseluruhan kos untuk menunaikan haji, dan didapati bahawa kos pada tahun 2023 telah menjangkau 64% dari keseluruhan kos haji bagi setiap individu.
Sebagai perbandingan, pada tahun 2013 kos haji hanya berjumlah RM15,555 dengan RM5,575 bantuan kewangan untuk setiap jemaah haji yang mencakupi RM95 juta secara keseluruhan. Bagi haji 2025, kos haji adalah sebanyak RM33,300 dengan jumlah bantuan kewangan mencecah RM261 juta. Setakat 2001-2024, bantuan kewangan haji yang telah dikeluarkan ialah berjumlah RM2.557 bilion.
Dalam keadaan kos dan kenaikan pelbagai perkhidmatan dan barangan, pihak Tabung Haji masih mampu mengekalkan kos haji keseluruhan seperti 2024 iaitu RM33,300 seorang. Bantuan kewangan haji masih diteruskan iaitu sebanyak 55% bagi golongan B40 dan 29 peratus bagi M40.
Manakala golongan T20 kekal dengan kos haji muassasah seratus peratus. Secara kesimpulannya, bayaran menunaikan haji adalah masih rendah dan bersesuaian iaitu bagi B40 sebanyak RM 15,000 (termasuk bantuan kerajaan Malaysia sebanyak RM1000), dan bagi M40 RM 23,500. Manakala golongan T20 kekal pada RM 33,300 seorang.
Sekiranya diteliti, kos haji Malaysia adalah masih antara terbaik dunia dengan pakej perkhidmatan yang lengkap dan menyeluruh. Kos haji ini merangkumi kos langsung seperti visa haji, sajian, takaful, bas, tiket penerbangan, penginapan, kidanah, pengendalian bagasi, perkhemahan masyair dan mutawif. Bukan itu sahaja, kos tidak langsung juga adalah signifikan dan ini termasuk kaunseling, kursus haji, bimbingan, petugas haji dan perubatan.
Sekiranya dikira dan dipertimbangkan secara keseluruhannnya, sudah pasti kos haji yang dimuktamadkan Tabung Haji ini adalah sangat berbaloi dan munasabah. Kualiti perkhidmatan yang ditawarkan juga adalah yang terbaik di dunia. Ini diiktiraf sendiri oleh Kerajaan Arab Saudi menerusi Anugerah Labbaitom bagi kategori Kepuasan Tertinggi Dalam Perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji.
Ihsan, Taa’wun dan Beramal
Bantuan kewangan haji ini pastinya memberikan manfaat kepada ramai jemaah haji. Kesemua pendeposit Tabung Haji telah menyumbang dan secara tidak langsung keuntungan menerusi pelaburan dapat disalurkan untuk meringankan sedikit kemampuan jemaah haji khususnya B40 dan M40. Ini menunjukkan bahawa konsep ta’awun atau bantu membantu yang pastinya memberikan pahala dan ganjaran kepada semua pendeposit Tabung Haji.
Ingin diingatkan bahawa menabung di Tabung Haji bukanlah sekadar untuk menikmati dividen semata-mata. Sambil menikmati dividen setiap tahun, pendeposit Tabung Haji sebenarnya telah beramal dan mempunyai saham di akhirat dengan menyumbang kepada keuntungan yang disalurkan antaranya untuk bantuan kewangan haji. Pendeposit Tabung Haji bukan sahaja mendapat khidmat kewajipan zakat malahan dapat bersama-sama pendeposit yang lain berta’awun atau bantu membantu secara tidak langsung meringankan sedikit kewangan pihak yang memerlukan bagi menunaikan haji.
Bukankah indah suasana apabila kita dapat melihat ada pihak yang berpeluang menunaikan haji dari segenap lapisan masyarakat seperti orang kampung, golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pesara serta warga emas dan sebagainya. Menyimpan wang di Tabung Haji bukan hanya bermatlamat untuk pelaburan selamat dan pulangan harta menerusi dividen tetapi ia adalah salah satu dari usaha bantu membantu sesama umat Islam memperkukuhkan ekonomi dan sekurang-kurangnya dapat juga menyumbang kepada kos haji yang munasabah dan bersesuaian.
Kewaspadaan penipuan haji
Keinginan yang mendalam untuk menunaikan haji perlu diseimbangkan dengan kemampuan serta dilakukan secara berhati-hati. Setiap tahun ada sahaja pihak yang mengambil kesempatan dengan penipuan pakej haji. Pelbagai langkah telah dilakukan termasuk kerjasama dengan pihak berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Dalam masa yang sama, Tabung Haji telah melantik dan memberi lesen tahunan kepada syarikat pelancongan tempatan yang berwibawa termasuk Tabung Haji Travel & Services sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH). Tabung Haji sentiasa mengingatkan orang ramai untuk memilih PJH berlesen untuk membendung penipuan pakej haji.
Syarikat tidak berlesen yang menawarkan pakej haji serta mengelola perkhidmatan haji boleh melanggar seksyen 27 Akta Tabung Haji 1995. Bukan itu sahaja mana-mana individu atau syarikat tersebut boleh juga didakwa di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes jenayah penipuan.
Perlu diingatkan juga bahawa Kerajaan Arab Saudi melalui Dewan Ulama Tertinggi telah mengeluarkan hukum yang menetapkan mana-mana jemaah haji yang datang menunaikan haji tanpa proses atau peraturan yang betul adalah haram dan berdosa. Oleh itu, bakal jemaah haji dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan hanya mendaftar dan menggunakan khidmat agensi yang sah dan diiktiraf oleh Tabung Haji. Ketelusan dan integriti adalah aspek penting yang perlu dipastikan untuk mengelakkan sebarang kerugian harta dan keselamatan diri.
Persediaan Haji Menerusi Keilmuan
Di samping teruja dengan giliran menunaikan haji dengan persiapan yang telah dirancang, haji menuntut persediaan yang komprehensif, bukan hanya dari segi kewangan, tetapi juga kesihatan fizikal, kestabilan mental, dan penguasaan ilmu. Persiapan Haji mesti diiringi dengan persiapan ilmu sebaiknya. Memahami maqasid haji dan menghayati pensyariatannya adalah sesuatu yang perlu ditekankan kepada semua jemaah haji.
Selain menelaah buku-buku Manasik Haji Wal Umrah, penulis ingin mengajak semua untuk membaca karya-karya seperti Hajj oleh Ali Shariati, Road to Mecca oleh Muhammad Asad dan Surat Malcolm X daripada Mekah. Begitu juga buku-buku lain mengenai sirah Rasululullah saw seperti Atlas on the Prophets Biography: Places, Nations and Landmarks oleh Shawqi Abu Khalil dan karya Safiur Rahman al-Mubarakpuri yang berjudul Ar-Raheeq Al-Makhtum. Ada banyak lagi karya-karya yang bermanfaat untuk ditelaah dan ditekuni bagi memperkukuhkan persiapan haji dengan keilmuan.
Ibadah haji proses transformasi diri
Realiti dan keadaan semasa menuntut kerajaan untuk membuat pertimbangan mengenai haji sebaiknya demi kemaslahatan semua. Keputusan yang dibuat telah mengambil kira semua aspek dan faktor yang berkenaan pada waktu ini. Sekiranya ada keperluan di masa depan, sudah pasti perhitungan dan pertimbangan lain boleh dibuat mengikut kesesuaian dan kemaslahatan. Segala pandangan dan idea baharu dan bernas juga adalah amat dialu-alukan untuk menambah baik perkhidmatan dan pengurusan haji di Malaysia.
Haji adalah ibadah yang lebih daripada sekadar ritual dan ia adalah proses transformasi diri. Dengan persiapan rapi, keikhlasan, dan penghayatan yang mendalam, ibadat haji menjadi madrasah kerohanian yang mendidik insan kembali kepada fitrah asal.
Haji menyeru umat Islam untuk sentiasa memperbaiki diri, menghayati erti persaudaraan, dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia. Semoga kita semua direzekikan oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya, dan semoga dhuyufurrahman yang bakal berangkat nanti beroleh haji mabrur dan dipermudahkan segala urusan.
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Comments