top of page

Koperasi luar bandar pemangkin pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2026

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 8
  • 2 min read


Oleh : Hasbul Ahmad


Koperasi di luar bandar dan di kampung-kampung dilihat mampu memainkan peranan penting dalam merancakkan sektor pelancongan melalui penglibatan aktif pembangunan eko-pelancongan, pelancongan budaya, agro-pelancongan dan gastronomi.


Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata, koperasi di luar bandar bukan sahaja mampu menjana pendapatan penduduk tempatan, malah turut memperkenalkan keunikan komuniti desa kepada pelancong dari dalam mahupun luar negara khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


"Banyak koperasi berkaitan dengan pelancongan yang berjaya, terutamanya di negeri Selangor. Jadi kejayaan-kejayaan koperasi yang berkonsepkan pelancongan ini akan diperkenalkan di peringkat domestik (parlimen Batu Pahat) dan seterusnya ke peringkat nasional.


"Di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ada dua agensi iaitu Suruhanjaya Koperasi dan juga Institut Koperasi Malaysia (IKMa).


"Suruhanjaya Koperasi akan membantu koperasi-koperasi yang ditubuhkan dalam semua jenis perniagaan, manakala IKMa membantu koperasi-koperasi baik yang baru, yang lama, ataupun yang baru hendak dihidupkan balik.


"Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk memberi panduan, garis panduan dan juga ilmu-ilmu tentang bagaimana untuk mengaktifkan koperasi-koperasi dalam apa jenis perniagaan selain peraturan-peraturan, undang-undang, informasi dan sebagainya," kata Onn kepada Suara Keadilan ketika ditemui di sambutan hari raya Palrimen Batu Pahat, kelmarin.


Beliau yang merupakan Pengerusi Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berkata, koperasi mampu berperanan sebagai pengurus atau penyelaras aktiviti pelancongan di kampung misalnya seperti penginapan desa, lawatan ke ladang, bengkel kraf tangan, persembahan kebudayaan yang dikendalikan sepenuhnya oleh penduduk tempatan.


"Sebagai contoh daerah Batu Pahat ini terkenal sebagai syurga makanan. Ada nasi beriani, nasi Pakistan, nasi tomato, otak-otak, sate, asam pedas juga mee racun. Jadi, dengan kategori dan menu makanan yang pelbagai di Batu Pahat ini boleh menjadi antara satu tarikan pelancongan yang utama.


"Selain itu di Batu Pahat ini ada 25 aset warisan dan sejarah yang boleh kita war-warkan kepada pelancong-pelancong untuk datang ke Batu Pahat," ujarnya lagi.


Onn turut mengakui wujud cabaran bagi mengembangkan potensi sektor pelancongan khususnya melibatkan koperasi, antaranya seperti penambahbaikan papan tanda dan tanda arah ke lokasi bagi meningkatkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

Justeru itu pihaknya kini merancang sebuah program perintis di Batu Pahat dalam bentuk pertemuan melibatkan pelbagai agensi mengandungi aspek latihan, pengurusan, persediaan bagi pematuhan kepada piawaian pelancongan agar perkhidmatan ditawarkan koperasi dan usahawan desa setanding dengan pasaran arus perdana.


"Insya Allah akan kita usahakan di Batu Pahat bulan Mei nanti. Jadi saya minta mana-mana koperasi di Batu Pahat, Seri Gading, Parit Sulong bersama-sama kita menjayakan program mengenai koperasi ini bersama IKMa dan Suruhanjaya Koperasi di Batu Pahat.


"Di sana kita akan adakan libat urus. Kita akan buat forum dan juga penerangan-penerangan yang akan membantu koperasi-koperasi yang ada di Batu Pahat," ujarnya lagi.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page