top of page

Konvoi Santunan KASIH Wanita AMANAH diselit kempen Rukun Negara



Konvoi Santunan KASIH Ramadan Kareem 2025 yang digerakkan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional bermula 15 Mac di Pahang dan berakhir pada 23 Mac di Negeri Sembilan telah berjaya menjelajah 12 buah negeri di Semenanjung Malaysia dengan pelbagai aktiviti sempena Ramadan.


Menurut Ketua Wanita Parti Amanah Negara, Datuk Aiman Athirah Sabu, konvoi itu bukan sahaja memberi manfaat kepada lebih kurang 360 keluarga asnaf dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM70,000 dalam bentuk Kotak KASIH RAHMAH, Sumbangan Tunai Rahmah dan Juadah Iftar serta Sahur KASIH, tetapi diselitkan juga dengan program kecintaan negara dengan melafazkan ikrar Rukun Negara.


"Kita telah menekankan lafaz ikrar Rukun Negara di setiap permulaan acara program sebagai penegasan iltizam dan komitmen Wanita Amanah terhadap perpaduan negara khususnya melalui penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara dan asas-asas penting kenegaraan.


"Penekanan terhadap Rukun Negara sepanjang konvoi ini bukanlah sekadar formaliti, tetapi merupakan manifestasi pendirian Wanita Amanah bahawa Rukun Negara adalah pasak perjuangan bernegara yang perlu meresap dalam pembuluh darah dan mengalir pada sendi dan urat saraf setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan sosio-ekonomi masing-masing.


"Prinsip-prinsip seperti "Kesopanan dan Kesusilaan" serta "Keluhuran Perlembagaan" perlu dijunjung tinggi dalam setiap aspek kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan budaya," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan itu juga Aiman Athirah menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan provokasi isu-isu sensitif berkaitan 3R (Race, Religion and Royal) yang kembali menular di media sosial.


Bulan Ramadan, kata beliau, seharusnya dimeriahkan dengan budaya dan sikap menjaga hati, lidah dan tindak tanduk mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan secara lebih menyeluruh dan tuntas.


Bukan sebaliknya membiarkan diri terjebak dalam polemik politik kaum dan agama yang berkecenderungan memecahbelahkan masyarakat.


Sedangkan, kata Ketua Wanita Pakatan Harapan itu, Kerajaan Madani telah melakukan yang terbaik dalam pemerintahan dan memperkukuh kesatuan dalam kalangan rakyat.


"Kerajaan MADANI telah menunjukkan prestasi urus tadbir yang memberangsangkan, pemulihan integriti ekonomi yang ketara, dan berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan seperti peluasan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta penerima bermula April ini, kelulusan 1,175 projek pembangunan semula sekolah daif bernilai RM12.47 bilion, penyelesaian isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman secara harmoni, pembinaan Masjid MADANI di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur, serta pelancaran Wakaf MARA MADANI yang berobjektif memperkukuhkan agenda ekonomi Bumiputera Islam.


"Pencapaian-pencapaian ini membuktikan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.


"Justeru, kita menyeru kepada semua pihak untuk bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial, sekaligus menolak segala bentuk provokasi berkaitan isu-isu sensitif.


"Kita perlu menyemak fakta sebelum berkongsi sebarang maklumat dan menghayati nilai-nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian sebagai benteng perpaduan negara," katanya lagi.


Tegas Aiman Athirah, Wanita Amanah akan terus komited memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, kerana pergerakan itu percaya penghayatan Rukun Negara yang mendalam akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bersatu-padu, adil, saling hormat, aman makmur dan sejahtera.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page