Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak bakal menjadi landasan mengurus perbezaan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terutama di peringkat akar umbi.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, konvensyen itu dirancang untuk menyuburkan semangat perpaduan dan keharmonian di kalangan parti dalam kerajaan sekaligus mencipta naratif kerjasama lebih jitu dalam menghadapi cabaran politik semasa.
"Mungkin ada perbezaan, tetapi kita kena uruskan untuk menjadi persamaan.
"Tujuannya untuk mencari titik pertemuan, titik persamaan untuk mengukuhkan dan menguatkan Kerajaan Perpaduan," katanya dipetik dalam sidang akhbar mengumumkan penganjuran konvensyen itu di Ipoh pada Isnin.
Perak menjadi negeri pertama mengadakan konvensyen itu selepas dilaksana di peringkat nasional pada Mei tahun lalu.
Ia bakal diadakan pada 28 Januari ini di Hotel Casuarina, Ipoh dengan 1,500 peserta dijangka akan hadir.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir ke konvensyen tersebut.
Comments