
Kontroversi pakaian atlet penerjun wanita dari Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak yang menyalahi kod berpakaian dalam sukan diperkenalkan Kerajaan Negeri Pas masih hangat diperkatakan.
Bagi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin, kod berpakaian yang diperkenalkan oleh kerajaan Pas itu sepatutnya menjadi syarat 'wajib patuh' sebelum atlet dibenar ke Sarawak.
Oleh itu, katanya, AMK Terengganu menyokong memorandum rakyat mendesak Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya meletakkan jawatan kerana telah berlaku kecuaian dalam memastikan kod berpakaian yang diperkenalkan dipatuhi.
"AMK Terengganu sokong penuh memorandum yang dibawa mahu peletakkan jawatan YB Hishamuddin dan Shahrizal kerana isu yang berbangkit mengenai SUKMA 2024
"Ini adalah satu isu yang memalukan bagi sebuah kerajaan yang melaungkan prinsip Islam tetapi berdolak dalih dan tidak konsisten dengan setiap tindakan.
"Perletakan jawatan Exco kerajaan menjaga hal ehwal belia dan sukan dengan ini amat wajar," katanya dalam satu kenyataan.
Meskipun, persatuan renang amatur Terengganu yang membawa atlet ke Sarawak telah meminta maaf mengenai perkara itu namun kata Asyraf, hal tersebut jelas menunjukkan kelemahan pengurusan di bawah Exco dan majlis sukan negeri yang mewajarkan dua individu itu berundur.
Sebelum ini, sejak kelmarin tular di media sosial berhubung memorandum yang mahukan Exco dan Pengarah Majlis Sukan Negeri meletak jawatan segera kerana beberapa perkara yang dianggap memberi dampak negara kepada pengurusan sukan Terengganu berhubung kod berpakaian atlet yang tidak menutup aurat mewakili negeri itu.
Tiga perkara tersebut berhubung kegagalan dalam pengawasan dan pengurusan; kehilangan kepercayaan rakyat berhubung insiden tersebut dan kritikan kepada Exco yang baru baru ini menyertai lawatan ke Sukan Olimpik Paris di Perancis yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada pengurusan sukan di negeri Terengganu.
Comments