Kongres Wanita, Kongres AMK, dan Kongres Nasional KEADILAN 2024 yang dijadualkan pada 15 Disember ini di Johor ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak berikutan situasi banjir yang memburuk di hampir seluruh negeri di Semenanjung Malaysia ketika ini.
Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh berkata, penangguhan tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN yang bersidang pada 30 November.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keperluan untuk memberi keutamaan kepada kebajikan anggota parti, sukarelawan, serta rakyat yang sedang berdepan musibah banjir.
"KEADILAN komited untuk memainkan peranan aktif dalam membantu mangsa banjir melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan yang sedang dan akan terus digerakkan oleh parti," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, ujarnya, KEADILAN akan mengadakan satu Kongres Khas meminda Perlembagaan Parti pada tarikh sama dengan kongres tahunan yang ditangguh tersebut.
"MPP telah memutuskan bahawa satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan Parti akan diadakan pada 15 Disember 2024.
"Pelaksanaan Kongres Khas ini akan diadakan di Negeri Selangor, dan butiran lokasi akan dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Agung dalam masa terdekat," katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyeru agar anggota KEADILAN membantu mangsa banjir di mana sahaja mereka berada, sama ada bergabung dengan sukarelawan tempatan atau gerak kerja atas nama parti.
"KEADILAN ingin menyeru semua pihak, termasuk anggota parti, untuk terus memberikan sokongan dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir.
"Semangat solidariti dan keprihatinan adalah asas kepada perjuangan kita sebagai sebuah parti reformasi yang sentiasa berpihak kepada rakyat," katanya lagi.
Beliau mengingatkan anggota agar cakna mengenai perkembangan terkini parti, terutama mengenai tarikh Kongres Khas yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Comments