Isu berkaitan jumlah perwakilan, kuota gender dan etnik antara perkara yang bakal disentuh pada Kongres Khas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang dijadualkan mulai pukul 8 pagi hingga 2 petang hari ini.
Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh berkata, Kongres Khas di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam itu dilaksanakan secara hibrid selepas mengambil kira ada dalam kalangan perwakilan datang dari negeri yang terkesan banjir.
Kongres tersebut diadakan bertujuan untuk meminda Perlembagaan parti itu agar prinsip keterlibatan demokrasi dapat diperkukuh dengan memberi hak kepada anggota parti untuk mengundi pemimpin pada sesi pemilihan akan datang.
"Semua ahli cabang ada hak untuk mengundi dan memilih pimpinan mereka.
"Sekiranya di setiap cabang itu mempunyai ahli yang lebih, maka setiap cabang itu akan mendapat perwakilan yang lebih untuk mengundi di kongres," katanya dipetik.
Fuziah turut menjelaskan, langkah meminda perlembagaan itu susulan perbincangan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengenai reformasi pemilihan bagi memastikan kredibiliti pemilihan pemimpin parti.
"Apabila kita berbincang di peringkat MPP, kita mendapat satu ketetapan (solusi) yang mana kita perlu tingkatkan perwakilan.
"Kita telah mengambil kira daripada sejuta anggota dalam parti hanya 30 peratus atau 300,000 ahli yang aktif dan daripada 30 peratus yang aktif itu, kita anggarkan hanya 30,000 ahli yang tegar (hardcore) yang sering turun padang," tambahnya.
Kongres Khas tersebut dianjurkan susulan penangguhan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2024 yang sepatutnya diadakan di Johor hujung minggu ini.
Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) membuat keputusan bagi menangguhkan kongres itu susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri sebelum ini.
Kongres Khas hari ini dijangka akan dihadiri 500 perwakilan secara hibrid; fizikal dan atas talian.
Comments