
Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memandang serius konflik manusia dan hidupan liar yang berlaku di Gua Musang, Kelantan.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, berdasarkan rekod PERHILITAN sebanyak 337 aduan berkaitan konflik hidupan liar di Gua Musang diterima tahun lepas.
''Ia melibatkan 218 aduan konflik berkaitan gajah dan 47 aduan berkaitan harimau.
''PERHILITAN juga telah mengambil beberapa tindakan bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar yang melibatkan harimau dan gajah di daerah berkenaan.
''Ini termasuk 306 kali kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan konflik yang terletak di kawasan habitat hidupan liar,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) tentang tindakan susulan yang diambil kerajaan di Jajahan Gua Musang, Kelantan memandangkan beberapa orang maut akibat gajah dan harimau kebelakangan ini di kawasan tersebut, yang menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan, selain banyak tanaman dirosakkan gajah yang berkeliaran.
Menjelaskan lebih lanjut, Nik Nazmi memaklumkan sebanyak 15 unit perangkap juga telah dipasang apabila menerima aduan tentang konflik harimau.
''Selain itu, operasi tangkap pindah yang melibatkan gajah juga telah dijalankan sebanyak 10 kali.
''Dalam pada itu, dua unit sistem pagar elektrik gajah (secara kekal) turut dibina di Kampung Orang Asli Pos Pasik dan Kampung Orang Asli Pos Aring 5 bagi mengelakkan kemasukan gajah liar ke penempatan dan kebun penduduk,'' ujar Naib Presiden KEADILAN itu lagi.
Comments