Oleh: Akmal Manaf
Komitmen yang ditunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang mengetuai Kerajaan MADANI sehingga ke hari ini merupakan sesuatu yang tidak boleh 'dilawan'.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui Perdana Menteri Ke-10 itu adalah seorang yang sering bekerja keras tanpa mengira masa, tekun dan sering menonjol ke hadapan.
Memberikan perumpamaan, beliau berkata, 'Anwar Ibrahim' tetap 'Anwar Ibrahim' meskipun Presiden KEADILAN itu dipuji atau diserang pihak lawan.
"Setakat ini saya perlu akui memang serangan utama (pembangkang) adalah kepada beliau selaku Perdana Menteri (PM).
"Saya lihat itu yang dibebani Anwar pada ketika ini dan pasukan juga harus menonjol dengan lebih pantas menandingi usaha.
"Apa yang diterima Anwar adalah atas kerja beliau kerana beliau memang melebihi orang lain daripada segi kerja," katanya dalam rancangan bual bicara Sembang Malam bertajuk 'Dua Tahun PMX dan Kerajaan Perpaduan' malam tadi.
Program yang dikendalikan oleh hos Tan Sri Johan Jaaffar itu turut menjemput Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.
Dalam rancangan itu, Johan sempat menyatakan kepada Amirudin bahawa Anwar mempunyai 30 anggota Kabinet untuk mempertahankan beliau dan dasarnya sekiranya diserang.
Menyambut kenyataan itu, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor menyatakan beliau tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa anggota Kabinet tidak memoertahankan PM.
"Saya bukan cakap mereka (anggota Kabinet) tidak berfungsi, tetapi ertinya orang akan lihat Kerajaan Perpaduan adalah Anwar Ibrahim.
"Ada ketika tertentu imej itu bagus, bila kena serang, beliau (Anwar) seorang yang kena tanggung. Kalau boleh rakan-rakan Kabinet tanggung bersama-sama beban kerja atau beban populariti itu.
"Anwar selaku pemimpin memang menonjol dan selalu ke depan (terlebih). Bila terlebih, beliau terpaksa menanggung bebanan sama ada daripada segi populariti, harapan dan kadang-kadang ianya menjadi kritikan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak menyifatkan, pemimpin utama negara berusia 77 tahun itu merupakan satu-satunya PM yang bertahan melebihi 22 bulan selepas 2018 dan mempunyai majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.
Comments