Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan dua suspek berhubung komen jelik dan bersifat provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen di platform TikTok pada 9 Julai lalu.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, rakaman percakapan ke atas kedua-dua suspek tersebut dijalankan semalam setelah aduan diterima daripada orang awam.
"Dalam operasi yang dijalankan, kad sim dan telefon pintar milik kedua-dua suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu telah disita bagi membantu siasatan," katanya.
Tambah MCMC, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Seksyen tersebut melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
"MCMC memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dan mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komen yang bertentangan dengan undangundang negara," kata suruhanjaya itu lagi.
Comments