top of page

KL Prosperity Walk 2025: Raikan Komuniti Bukit Bintang dalam semangat Chap Goh Mei



Oleh: Andre Lai Chen Heng


ULASAN: KL Prosperity Walk kembali! Edisi keempat acara ini membawa keceriaan dan semangat perayaan kepada ibu kota, dengan persembahan budaya yang lebih menarik.


Sejak kali pertama diadakan pada 2022, KL Prosperity Walk telah menjadi acara tahunan yang penting dalam kalendar perayaan Bukit Bintang, memperkenalkan wilayah ini sebagai pusat budaya yang unik dengan pelbagai aktiviti menarik di sepanjang laluan.


Acara tahun ini semakin bermakna dengan sokongan berterusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang telah menjadikan KL Prosperity Walk sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur.


Acara ini dimulakan dengan upacara pelepasan di Lot 10 Bukit Bintang pada jam 4:15 petang, di mana peserta berjalan melalui mercu tanda ikonik seperti Lot 10, Fahrenheit 88, Starhill Gallery, Pavilion Kuala Lumpur, Plaza Low Yat, Sungei Wang Plaza dan berakhir di Berjaya Times Square.


Sepanjang perjalanan, para peserta turut dihiburkan dengan persembahan tarian naga, singa, serta tarian unicorn yang jarang disaksikan, selain persembahan muzik secara langsung dan pelbagai persembahan budaya dari pelbagai etnik seperti Dhol Punjabi dan Ureeme Tamil. Acara ini menonjolkan perarakan kebudayaan komuniti Mah Meri, yang merentasi seluruh kawasan Bukit Bintang, memperlihatkan keunikan budaya masyarakat tempatan.


Walaupun hujan lebat dan kesesakan lalu lintas, semangat peserta tetap utuh. Mereka berjaya tiba di Berjaya Times Square pada pukul 7 malam, disambut dengan tepukan dan sorakan.


Acara ini juga menyaksikan pertandingan fotografi bertajuk "Essence of KL Prosperity Walk 2025", yang memberi peluang kepada para peserta untuk merakamkan momen-momen unik sepanjang acara tersebut.


Sambutan terus berkembang


Pengalaman kali ini menunjukkan bagaimana KL Prosperity Walk bukan sahaja meraikan perayaan Tahun Baru Cina tetapi juga memberi penghargaan kepada peranan komuniti tempatan dalam membentuk identiti sosial dan budaya Kuala Lumpur.


Pengerusi MOOHEEBAZZ, Ivan Cheng yang menganjurkan acara ini, menyatakan rasa terima kasihnya atas sokongan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan dan pelbagai NGO.


"Kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan daripada pihak berkuasa tempatan dan NGO. KL Prosperity Walk adalah manifestasi keharmonian antara tradisi dan kemodenan yang menjadi identiti Bukit Bintang.


"Acara tahun ini juga bertujuan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi, memberdayakan komuniti dan mempromosikan kelestarian alam sekitar," katanya.


Pengerusi BBKLCC Tourism Association dan Co-Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KL Prosperity Walk, Ng Yih Chen menambah, "Acara ini bukan hanya sekadar perayaan Tahun Baru Cina. Ia juga memberi penghargaan kepada sumbangan komuniti setempat dalam perkembangan sosial Kuala Lumpur. Kami berharap kejayaan yang dicapai pada tiga edisi lalu dapat diteruskan tahun ini, dan ini hanya dapat dicapai dengan sokongan daripada penaja dan rakan kongsi kami."


Elemen budaya dalam pembangunan


Majlis penutup yang sederhana namun penuh makna telah diadakan dengan sesi bergambar dan ucapan daripada salah seorang Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Lai Chen Heng. Dalam ucapannya, Lai menyatakan kepentingan memasukkan elemen budaya dalam pembangunan bandar Kuala Lumpur, selaras dengan visi Datuk Bandar Kuala Lumpur.


"Sewaktu kita bergerak ke arah menjadi sebuah Bandar Pintar yang lebih baik, memelihara dan memartabatkan pembangunan seni dan budaya adalah antara kriteria penting dalam memastikan warisan budaya dan legasi bandar ini kekal.


"Walk ini yang telah memasuki edisi ke-4, bermula di Times Square yang juga menjadi lokasi asal acara ini empat tahun lalu. Inisiatif ini sangat digalakkan, malah tema Tahun Baru Cina DBKL juga bertemakan KL Prosperity tahun ini. Terima kasih kepada pusat membeli-belah, peserta, dan masyarakat yang sentiasa menyokong acara ini," katanya.


Seorang lagi Ahli Lembaga Penasihat, Carmen Leong, turut berkongsi pandangan yang serupa.


"Pembangunan Kuala Lumpur bukan sekadar tentang pencakar langit atau menara korporat. Ketika kita berkembang, kita juga perlu menjaga sejarah budaya kita.


"Saya berharap acara ini akan menjadi kenangan indah untuk generasi akan datang. DBKL juga merancang banyak projek pembaharuan dan naik taraf kemudahan tarikan pelancongan di kawasan Segi Tiga Emas, dengan lebih fokus pada peningkatan sosial dan pengukuhan nilai-nilai budaya serta masa depan yang lebih gemilang," kata beliau.


KL Prosperity di Dataran Merdeka


Pada masa yang sama, DBKL turut mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dataran Merdeka dengan tema yang sama, KL Prosperity, bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan. Acara utama di Dataran Merdeka, yang menjadi sebahagian daripada program KUL Vibes and Harmony Kita, berlangsung selama dua hari, dengan aktiviti-aktiviti yang dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan Dr. Z dan Menteri Perpaduan Nasional, Aaron Ago Dagang.


KL Prosperity Walk 2025 sekali lagi berjaya menarik perhatian ramai dan mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai etnik di Kuala Lumpur, menggabungkan elemen seni, budaya, dan kebersamaan dalam satu acara kemuncak.


Turut sertai dalam program ini adalah Kenenth Lee, Ahli Majlis Sepang.

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page