Malaysia dan Vietnam bersepakat meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, marin, tenaga dan digital, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerjasama itu juga akan memanfaatkan Grid Tenaga ASEAN bagi menggalakkan pertumbuhan serantau.
"Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam menunjukkan sokongan yang amat baik dan begitu juga dengan pemimpin di Vietnam.
"Saya fikir kami telah merakamkan penghargaan dan oleh itu kami akan memudahkan kerjasama dalam semua bidang, pertahanan, marin, seperti anda telah melihat, juga dua memorandum persefahaman (MoU) MATRADE dan Petronas serta digital dan juga tenaga menggunakan Grid Tenaga ASEAN," katanya pada sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Anwar dan Lam menyaksikan pertukaran MoU melibatkan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE) serta Memorandum Kerjasama antara Petronas dan Petrovietnam dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Anwar menyifatkan lawatan To Lam sebagai sangat bermakna dan ia dapat meningkatkan hubungan Kuala Lumpur-Hanoi kepada perkongsian strategik yang komprehensif.
Perdana Menteri berkata Vietnam telah memberikan menyokong kepada usaha perniagaan Malaysia ke negara itu yang kini melebihi AS$13 bilion dengan 700 projek.
"Itu bermakna sokongan pihak berkuasa Vietnam sangat positif dan mereka terus menyokong kami sebagai Pengerusi ASEAN nanti," katanya.
Anwar berkata Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia dan Vietnam kelapan, pada awal tahun depan yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar kedua-dua negara.
Beliau berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneroka kemungkinan mengadakan usaha bersama dalam industri perikanan, memandangkan kejayaan pihak berkuasa pembangunan bersama antara kedua-dua negara.
"Pemimpin Vietnam dan rakyat Vietnam dengan memahami sejarah dan perjuangan mereka memastikan bahawa ia sebagai negara yang merdeka dan bekerja untuk rakyat.
"Dengan sejarah yang hebat itu, saya berkata dalam lawatan saya yang seterusnya, Setiausaha Agung akan aturkan lawatan khas saya ke Dien Bien Phu," katanya.
To Lam dan isteri Ngo Phuong Ly serta delegasinya tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.15 pagi tadi.
Beliau kemudiannya diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana di Putrajaya.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunias Vietnam pada Ogos 2024.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan lawatan rasmi berkenaan akan mengukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, dari segi dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik mahupun dalam platrform ASEAN.
Pada 2023, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam ASEAN.
Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam mencecah RM80 bilion, dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion.
Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$13.1 bilion.
Commentaires