KKM sedia sokong pinda akta berkaitan perjawatan petugas kesihatan
- Suara Keadilan
- Feb 26
- 2 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menyokong cadangan meminda akta sedia ada berkaitan perjawatan petugas kesihatan, terutama golongan pakar dan doktor.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesediaan itu dibuat berpandukan kekangan dihadapi Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang tidak memberikan peranan untuk mewujudkan jawatan baharu, merangka sistem saraan termasuk menetapkan kadar emolumen atau elaun kakitangan awam.
"Peranan tersebut di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MoF) seperti dijelaskan dalam akta serta peraturan kewangan yang berkuatkuasa.
"Sebab ini rakan KKM dibuat sebagai pendekatan bersifat memperbaiki amalan dalam sayap swasta, iaitu Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) yang akan dapat membuat dan meningkatkan perjawatan serta kadar upah kepada petugas kesihatan.
"(Pendekatan ini memberikan) peluang (kepada) saya mengekalkan pakar dan doktor daripada berpindah ke sektor swasta mahupun luar negara," katanya dipetik menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sementara itu Dr Dzulkefly memaklumkan dewan bahawa setakat 31 Januari lalu, seramai 6,211 pegawai perubatan juga sedang mengikuti latihan kepakaran KKM meliputi 5,519 pegawai dalam program Sarjana Perubatan, manakala program Parallel Pathway membabitkan 692 orang.
Bagi tahun ini, pihaknya menyasarkan 3,200 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke perjawatan tetap.
"Bagi tempoh sama, KKM melatih 4,776 pakar perubatan selain 900 pakar lagi dijangka ditempatkan di fasiliti kesihatan yang memerlukan.
"KKM secara berterusan melaksanakan penempatan pegawai perubatan dan pakar perubatan ke kawasan memerlukan, terutama di Sabah dan Sarawak.
"Ini sekali gus dapat menangani isu ketidakseimbangan agihan, terutama di luar bandar Sabah dan Sarawak," jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Pada penggulungannya juga Dr Dzulkefly menggesa Ahli Parlimen kedua-dua blok bekerjasama untuk memberi tekanan dalam usaha membangunkan suruhanjaya yang lebih sesuai dengan keperluan semasa dan kalis cabaran mendatang.
Comments