![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_7896ca89916c487ca73db752d3d4f46d~mv2.jpeg/v1/fill/w_700,h_466,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_7896ca89916c487ca73db752d3d4f46d~mv2.jpeg)
Enam klinik kesihatan (KK) di Sarawak bakal menjalani transformasi digital, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Melalui satu sidang media sempena lawatan ke Hospital Sibu pada Khamis beliau berkata, ia terdiri daripada KK Ba’Kelalan, KK Balai (Bakam), KK Bario, KK Batu Danau, KK Pa' Dallih dan KK Paloh.
"Transformasi ini merupakan sebahagian daripada sasaran Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan sistem digital di semua fasiliti kesihatan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang," katanya dipetik.
Mengulas lanjut beliau berkata, inisiatif telah dilaksanakan di lima KK di Sarawak pada tahun lalu melibatkan KK Sebauh, KK Tatau, KK Bintulu, KK Telaga Air dan KK UTC Kuching.
Inisiatif itu yang melibatkan pelaksanaan sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS) dijangka mampu mengurangkan tempoh menunggu pesakit di klinik kerajaan dari tiga jam kepada 30 minit selain mampu mengelak rekod atau data perubatan di klinik daripada terjejas akibat bencana seperti banjir.
Sehubungan itu jelasnya, dengan peruntukan berjumlah RM19 juta pihaknya mensasarkan 100 fasiliti kesihatan di seluruh negara akan menjalani transformasi digital tahun ini.
Sementara itu sebagai mengulas lawatannya beliau berkata, sebanyak RM7.8 juta peruntukan tambahan telah diluluskan untuk mengatasi masalah kondensasi yang menyebabkan pertumbuhan kulat di wad Hospital Sibu.
"Sebanyak RM1.3 juta turut diluluskan untuk perolehan peralatan perubatan dan kerja-kerja baik pulih hospital berkenaan," katanya.
Comments