KKM pantau penularan wabak Legionnaires
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau perkembangan wabak Legionnaires yang dilaporkan semakin menular di Sydney, Australia ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat memaklumkan, setakat ini belum ada kes jangkitan dilaporkan di negara ini berdasarkan maklumat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).
"KKM melaksanakan pemantauan (berhubung jangkitan Legionnaires) dan sebaik sahaja kita mendapat maklumat daripada CPRC, KKM akan mengeluarkan kenyataan," katanya dipetik.
Penyakit Legionnaires merupakan sejenis radang paru-paru yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Legionella, yang secara semula jadi wujud dalam air tawar.
Gejala penyakit Legionnaires seperti demam, menggigil, batuk dan sesak nafas boleh muncul hingga 10 hari selepas terdedah kepada bakteria itu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian akibat penyakit Legionnaires boleh mencecah hingga 80 peratus dalam kalangan pesakit yang tidak dirawat dan mempunyai sistem imun yang lemah.
Agensi berita antarabangsa baru-baru ini melaporkan Jabatan Kesihatan negeri New South Wales (NSW) memaklumkan terdapat seorang maut manakala 12 lagi dijangkiti Legionnaires.
Susulan itu NSW Health menggesa sesiapa yang berada di pusat bandar Sydney dan kawasan di sekitarnya pada akhir Mac atau awal April supaya berwaspada terhadap gejala penyakit berkenaan.
Comments