Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang memperkenalkan satu Rang Undang-Undang (RUU) bagi melindungi individu yang bertindak memberikan bantuan kecemasan dari sebarang tindakan undang-undang sekiranya berlaku kecederaan tidak disengajakan semasa memberi bantuan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata undang-undang berkonsepkan 'Good Samaritan Law' itu belum diperkenalkan di Malaysia sehingga menjadikan negara dilihat agak ke belakang berbanding negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) yang mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan.
"Akta 'Good Samaritan Law' ini penting untuk kita gubal dalam tempoh Parlimen ke-15 ini dengan matlamat menjadikannya setaraf dengan amalan di negara-negara lain. Saya tidak dapat memberi jaminan bila, tetapi saya mahu ia dilaksanakan secepat mungkin.
"Kita ada tempoh tiga tahun lagi untuk memastikan 'Good Samaritan Law' ini menjadi kenyataan," katanya dipetik.
Dr Dzulkefly berkata begitu selepas merasmikan program 1st Malaysia Community First Responder Conference di sebuah hotel di Pulau Pinang pada Sabtu.
Turut hadir pada program itu ialah Exco Kesihatan, Belia dan Sukan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Kecemasan dan Ketua Perkhidmatan Kecemasan Kebangsaan, Dr Fatahul Laham Mohamed.
Dr Dzulkefly sementara itu berkata, beliau akan membawa hasil daripada persidangan 1st Malaysia Community First Responder Conference yang berkaitan dengan akta berkonsep 'Good Samaritan' itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet minggu hadapan.
Beliau optimis akta 'Good Samaritan' dapat direalisasikan di negara ini dan KKM akan merujuk kepada amalan terbaik dari negara lain sebagai penanda aras dalam menggubal RUU akta itu.
"Kita melihat betapa pentingnya perlindungan undang-undang bagi mereka yang memberi bantuan kecemasan seperti CPR (resusitasi kardiopulmonari) dan setiap orang, mempunyai potensi menjadi penyelamat nyawa.
"Ini adalah langkah penting untuk melindungi mereka yang bertindak atas dasar niat baik, dan kita harus pastikan mereka dilatih dengan baik untuk memberikan bantuan yang berkualiti," jelasnya.
Comments