Cadangan mengenai pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) untuk petugas kesihatan akan dibincang dalam pemukiman Kementerian Kesihatan (KKM) yang berlangsung hujung minggu ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sudah mendapat maklum balas berhubung cadangan itu melalui sesi libat urus bersama lebih 1,000 pegawai dan pakar perubatan yang diadakan pada Jumaat.
Jelasnya, WBB merupakan cadangan perubahan aturan jadual kerja yang dibina oleh petugas KKM sendiri berdasarkan libat urus dibuat sejak 22 Januari tahun lalu.
"Sistem itu membabitkan beberapa jabatan di fasiliti kesihatan terpilih melibatkan pegawai perubatan dan pakar perubatan secara bersasar.
"Ia menjadi sistem ketiga yang berjalan selari dengan sistem atas panggilan (on-call) sedia ada dan sistem syif bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan," kata dipetik dalam sidang media khas, di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Sementara itu Dr Dzulkefly menegaskan, WBB bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai selain mengurangkan keletihan selain meningkatkan kualiti hidup serta kebajikan pegawai perubatan selain mewujudkan sistem agihan petugas kesihatan yang tidak seimbang.
"WBB bertujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup serta kebajikan dan menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan.
"Pelaksanaannya dengan sasaran untuk mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat.
"Kedua, adalah memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan," tambahnya.
Beliau turut menjelaskan, pelaksanaan WBB menyasarkan untuk mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu kepada 72 jam seminggu.
Comments