KK Mart perlu SOP teratur pembelian stok, elak kegelisahan awam
- Suara Keadilan
- Jan 15
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pihak pengurusan kedai serbaneka KK Mart disaran segera menyemak semula mekanisme pembelian dalaman syarikat, termasuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pembelian seterusnya mengumumkannya kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyifatkan, tindakan mendakwa pembekal produk sandwich ham & cheese adalah sesuatu yang tidak memadai serta tidak memberi jaminan hal yang sama tidak akan berulang.
"Sebagai sebuah kedai rangkaian yang besar dan terkenal, seharusnya KK Mart mengambil pengajaran dan memperketatkan kawalan dalaman mereka untuk menjaga sensitiviti pelanggan pelbagai latar belakang.
"KK Mart juga harus menunjukkan teladan sebuah syarikat prihatin yang mempunyai tanggungjawab sosial.
"Tindakan cuai segelintir pengusaha tempatan berkemungkinan bakal menjejaskan imej Malaysia sebagai peneraju industri halal dan yang telah mengekalkan kedudukan di tangga pertama untuk tahun yang ke-10 dalam kedudukan State of the Global Islamic Economy (SGIE)," katanya dalam satu kenyataan.
Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia berkata, insiden melanda kedai serbaneka itu adalah sesuatu yang mendukacitakan apatah lagi ia berlaku kurang setahun selepas insiden stoking tertera kalimah Allah.
"Harus diketahui, Malaysia selalu berusaha memperkembangkan industri halal yang dikagumi sedunia, malah pengiktirafan tersebut semakin diterima pakai oleh pengusaha dan pelabur antarabangsa.
"Sumbangan industri Halal kepada KDNK Malaysia disasarkan sebanyak 8.1% bersamaan RM137.6 bilion pada tahun 2025.
"Ia kemudiannya meningkat kepada 10.8% bersamaan RM260 bilion pada tahun 2030," katanya.
Tambah Chean Chung, pada tahun 2022 sahaja saiz pasaran asas industri Halal global ialah AS$2.2 trilion manakala saiz pasaran potensi industri Halal global ialah AS$9.3 trilion
Amat malang sekiranya Malaysia yang telah mempunyai nama baik dalam industri itu tercemar akibat segelintir pengusaha yang tidak patuh peraturan atau cuai dalam menguruskan stok perniagaan mereka.
Comments