Kebebasan bersuara telah disalah guna oleh pembangkang untuk mencaci Kerajaan Perpaduan dan mengelirukan rakyat dengan pelbagai cara.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansur Amer Mohd Isa berkata, kebebasan yang disalah guna itu menyebabkan orang Melayu Islam, kaum terbesar di negara ini membuang budaya lemah lembutnya sehingga sanggup mencaci Perdana Menteri (PM) setiap saat dan sepanjang tahun.
"Kita (dari dulu) perjuang kebebasan bersuara. Tetapi yang berlaku sekarang ini (setelah mendapat kebebasan) bukan bebas bersuara tetapi bebas mencaci, fitnah. Kita nak bina (budaya) apa ini?
"Mereka nak bawa apa, sopan santun? Kamu caci maki tokoh yang dihormati dunia. PM Anwar bukan tokoh 'cokia' tepi jalan. Kalau dia pergi Amerika Syarikat dia bercakap di universiti, kalau di Arab dia dipanggil berucap di forum ekonomi.
"Di mana letaknya nilai Melayu Islam? Kalau tidak boleh bawa nilai dalam politik, bermakna kita gagal. Nilai Melayu tak ada, nilai Islam pun jauh sekali," katanya dalam sidang media penubuhan Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat di PWTC, Kuala Lumpur petang tadi.
Tambah Mustapa, kemuncak politik cacian yang diamalkan pembangkang apabila qunut nazilah dibacakan ke atas kerajaan sebaik sahaja Speaker Dewan Rakyat memutuskan menggantung Ahli Parlimen Machang daripada menghadiri dewan kerana berhujah menggunakan surat layang dalam perbahasan.
Kata Mustapa, qunut nazilah berdasarkan sunah dibaca oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika perang melawan kafir harbi dan ianya tidak boleh dibaca ke atas saudara sesama Islam mahu pun kafir zimmi.
Beliau memberi amaran tahap keretakan sosial yang dialami umat Melayu pada waktu ini menghampiri situasi 1980an lalu apabila berlaku budaya takfiri di antara pengikut Pas ke atas UMNO.
"Kita lalui detik cemas ini pada 1980an dulu, ada solat dua imam, mayat tak boleh dikebumikan kerana berbeza aliran politik (di Terengganu). Padahal berbeza pandangan politik itu ijtihad. Ada sorang kata A bagus, ada kata B bagus tetapi bukan menjatuhkan hukum munafik," katanya.
Mustapa yang juga pempengaruh terkenal media sosial itu menentang sikap ahli politik Pas yang dianggapnya mempunyai masalah karektor apabila ahli politik yang memerintah empat negeri Melayu menunjukkan muka manis untuk mendapatkan peruntukan Persekutuan daripada PM tetapi dalam tempoh beberapa jam kemudian mencaci maki PM dalam ceramah politik.
"Saya agak keliru ... pagi baru diserahkan berpuluh bilion dana pembangunan, malam ada ceramah politik dia (pemimpin Pas) boleh kutuk lagi. Saya rasa ada sesuatu yang tak betul (psikologi). Ini bukan masalah politik, ini karektor," katanya.
Justeru Mustapa Mansur berharap dengan tertubuhnya Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat maka gabungan pemain media sosial sukarela dari Pakatan Harapan, BN dan individu prihatin boleh menggembleng tenaga memberi pencerahan kepada rakyat dan menangkis segala fitnah serta tohmahan yang dilemparkan ke atas Kerajaan Madani.
コメント