Kerajaan Madani menyediakan satu lagi kemudahan kepada rakyat untuk akses kepada perkhidmatan penting kerajaan dan swasta dengan memperkenalkan Kiosk Sentuhan MADANI.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam catatannya di Facebook teruja dengan kiosk digital berkenaan yang beliau lancarkan dan ditempatkan di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya.
"Kiosk Sentuhan MADANI pertama telah berjaya diwujudkan di pusat beli-belah Alamanda, yang merupakan prakarsa terbaharu bagi memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.
"Saya sempat melihat dan mencuba sendiri kiosk digital agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta yang tersedia untuk dimanfaatkan segenap lapisan masyarakat," katanya.
Kiosk tersebut, menurut Anwar, menawarkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan MyDigital ID dan amat berguna kepada rakyat yang tidak mempunyai banyak masa untuk pergi ke kaunter jabatan jabatan berkenaan.
"Ini satu lagi prakarsa penting dari Kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan awam dan menyantuni keperluan masa kini rakyat, Insya-Allah," kata PM lagi.
Untuk rekod, Kiosk Sentuhan MADANI di Alamanda merupakan fasa pertama. Set kedua akan diletakkan di KL Sentral dan sejumlah lagi dalam fasa seterusnya.
Kiosk tersebut merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2025 bertujuan untuk memodenkan penyampaian perkhidmatan awam dan memenuhi keperluan rakyat dengan lebih baik.
Comments