Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melancarkan pengoperasian kilang pemasangan (CKD) kereta Proton Holdings Berhad di Kahareh, Mesir yang dijangka mula beroperasi Disember ini.
Beliau berkata pemasangan kereta model Proton Saga di Mesir itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa cara pemikiran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara.
"Proton bukan hanya industri automotif di Malaysia, malah ia adalah kebanggaan negara, ia adalah jenama yang dikaitkan dengan Malaysia... terkenal di banyak negara malah di Eropah," katanya dipetik berucap pada majlis pelancaran tersebut.
Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Mesir Kamel Al-Wazir dan Pengerusi Ezz Elarab Elsewedy Industrial Investments Hisham Ezz Elarab.
Perdana Menteri berkata, usaha sama berkenaan penting untuk memajukan industri tempatan kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keberadaan Malaysia di Mesir adalah sebagai rakan kongsi berdasarkan kepercayaan dan persahabatan yang lama terjalin.
"Adalah diharapkan supaya ia dapat membuka pintu ke pasaran Afrika Utara," kata beliau.
Jelasnya rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan kereta Proton Saga akan menghasilkan kira-kira 16,000 unit antara tahun ini hingga 2026, yang disasar menjana pendapatan sekitar RM570 juta.
"Sebanyak RM20 juta pendapatan lagi dijangka dijana melalui jualan alat-alat ganti bagi menyokong perkhidmatan.
"Semoga lebih banyak peluang dan ruang buat syarikat Malaysia menjalinkan kerjasama dengan pihak Mesir, Insya-Allah," kata beliau lagi.
Sementara itu, Pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar yang dipetik Bernama berkata syarikat automotif itu akan terus meneroka pasaran baharu bagi memastikan jenama kereta tempatan tersebut terus maju.
Beliau berkata setiap tahun eksport Proton semakin meningkat dan dalam tempoh jangka sederhana syarikat itu berhasrat menjadikan Mesir sebagai hab utamanya bagi rantau utara benua Afrika.
Menurutnya, pusat pemasangan serantau di Giza, Mesir menjadi yang pertama untuk model pandu kiri syarikat berkenaan di luar negara.
"Kami berharap platform ini memberikan potensi untuk Proton berkembang lebih jauh ke negara jiran dengan menjadikan Mesir sebagai hab utama," katanya.
Comentarios