Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan skil kepimpinan tertingginya apabila berjaya menyelesaikan kebuntuan rundingan air di antara Pulau Pinang dan Perak dengan mewujudkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, jawapan Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan PM semalam telah menjelaskan dengan terperinci kewujudkan KIGIP, yang melembutkan hati kerajaan Perak menjual air ke Pulau Pinang secara tukaran pembangunan kawasan perindustrian di utara negeri itu.
"KIGIP bukan sekadar taman perindustrian, ia juga merupakan kunci untuk memecahkan kebuntuan rundingan air Pulau Pinang - Perak sejak 2009.
"Sejak 15 tahun lalu, Pulau Pinang dan Perak tidak dapat mencapai persetujuan walaupun PM6, PM7, PM8 dan PM9 campur tangan. Air adalah sumber penting, kedua-dua negeri tidak dapat mencapai persetujuan kerana ia adalah permainan sifar (kepada Perak).
"Sehinggalah (era) PMX
"Bagaimanakah PMX melakukannya? Beliau menubuhkan KIGIP untuk Perak Utara. Kemudian beliau membuat Pulau Pinang komited untuk membantu Perak menjayakan taman perindustrian itu," katanya dalam satu kenyataan.
Dengan idea bijaksana itu, kata Tze Tzin, Perak menghantar air dari Sungai Perak untuk kegunaan taman perindustrian dan seterusnya bersambung ke rangkaian perbekalan air Pulau Pinang Selatan.
Katanya, sebanyak 700 juta liter sehari air akan dijual ke Pulau Pinang.
"Inilah hikmah PMX. Dia menukar permainan jumlah sifar (antara Perak -Pulau Pinang) menjadi strategi menang-menang-menang yang membunuh 'tiga burung dengan satu batu'.
"KIGIP menyelesaikan 3 perkara iaitu taman perindustrian dan pekerjaan baharu untuk utara Perak, menyelesaikan kebuntuan antara Pulau Pinang-Perak dan 700 juta liter air untuk Pulau Pinang," katanya lagi.
Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia itu berharap dengan pelaburan RM4 bilion KIGIP maka tidak lama lagi negara akan mempunyai zon Perak Utara-Selatan Pulau Pinang yang berkembang pesat ekonominya.
Comments