top of page

Kiasan Ketua Penerangan Pas dikecam, menjurus penderhakaan



Hantaran Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang dimuat naik ke media sosial dikritik kerana boleh menjurus penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.


Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, hantaran yang dimuat naik selepas UMNO mengumumkan membatalkan rancangan mengadakan himpunan solidariti untuk Najib Razak pada 6 Jan itu mencetuskan persoalan kepada siapa tulisan itu ditujukan.


Dipetik laporan media beliau menegaskan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut sangat mengelirukan terutama setelah Istana Negara mengeluarkan kenyataan agar semua pihak menghormati kuasa prerogatif Agong dalam mengampunkan atau mengurangkan hukuman seseorang banduan dan menggunakan saluran perundangan ditetapkan.


"Amaran tegas kepada Pas agar berhenti daripada memperlekehkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan menghormati kedaulatan serta kuasa YDPA yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

Fadhli pada Jumaat memuat naik hantaran berbunyi : “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.”


Sebagai rekod, UMNO memaklumkan pembatalan himpunan dirancang di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin sebagai menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif untuk memberi pengampunan atau pengurangan hukuman kepada mana-mana banduan, serta arahan Ketua Polis Negara untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan berkaitan isu tersebut.


Sementara itu Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hazmi Hassan menyifatkan hantaran Ahmad Fadhli itu mencipta isu dengan berselindung di sebalik kenyataan sindiran.


Hazmi berkata, kenyataan berbaur hinaan, bahaya dan mencetuskan perdebatan berkenaan memang ditujukan kepada pihak tertentu namun diolah agar ianya tidak ketara.


"Hubungan kenyataan tersebut - jika dirujuk situasi semasa, terutamanya berkaitan kenyataan Istana Negara mengenai isu titah tambahan (adendum) - ia boleh ditafsir sebagai sindiran terhadap istana.

"Jika benar, Ahmad Fadhli bukan sahaja tidak menghormati institusi diraja tetapi jelas bertentangan dengan semangat menjunjung Perlembagaan yang menjadi asas kestabilan negara," katanya dipetik.


Hantaran Ahmad Fadhli itu turut menerima kecaman dari Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Hussien Syed Abdullah.


Menerusi satu kenyataan beliau mengingatkan sebagai rakyat Malaysia berpegang pada prinsip Rukun Negara iaitu perkara kedua yang menyatakan 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara' serta perkara empat 'Kedaulatan Undang-Undang.


"Selepas mengamati tulisan itu, ada beberapa persoalan yang berlegar di fikiran saya iaitu adakah biawak yang dimaksudkan ini adalah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atau Polis Diraja Malaysia (PDRM)?


"Jika ya, ini merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja kerana menyamakan atau memperumpamakan haiwan terhadap Seri Paduka atau PDRM, dilihat keterlaluan.


"Jangan samakan UMNO dengan parti yang terlalu dahagakan simpati politik hingga sanggup menghasut agar rakyat tidak ada rasa hormat pada institusi beraja dan negara ini,"tegasnya.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page