Kg Sungai Baru: Pengambilan tanah Jun 2021, kenapa Kerajaan Madani dipersalah?
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Mantan Menteri Wilayah Persekutuan era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa disaran menyahut cabaran Datuk Fahmi Fadzil agar turun berdepan penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dalam isu kontroversi pengambilan 'paksa' tanah menggunakan Akta Pengambilan tanah 1960 membabitkan projek pembangunan semula kawasan itu.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak berkata, bersemuka dengan penduduk merupakan jalan terbaik sekiranya cabaran itu disahut Annuar.
''Selama ini mereka (pembangkang) juga suka berdebat, saudara Fahmi sebagai Jurucakap Kerajaan nak memainkan peranan untuk menjernihkan isu ini.
''Saya fikir jika Annuar Musa tidak menerima pelawaan debat atau dialog daripada Fahmi, ini jelas bahawa mereka tahu yang mereka salah,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang menyiarkan kenyataan Fahmi mencabar Annuar yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas untuk bersemuka dengan penduduk di Kampung Sungai Baru.
Dalam isu sama, Haziq turut menempelak pihak pembangkang sebagai 'cakap tak serupa bikin' kerana pengambilan paksa tersebut berlaku pada 21 Jun 2021 ketika Perikatan Nasional berkuasa tetapi kesalahan diletakkan ke bahu Kerajaan Perpaduan.
''Masa mereka (PN) berkuasa, mereka tak perjuangkan apa yang dicakap.
''Bila dah jadi pembangkang, sibuk tuduh kerajaan dan mempertikaikan hak orang Melayu,'' bidas beliau lagi.
Semalam Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dilapor berkata, Annuar tidak perlu terlalu ghairah mempertahan karikatur menyindir Perdana Menteri dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
''Kalau nak kempen cara itu (karikatur sindir kerajaan), masa dia jadi kerajaan apa dia buat, jadi kalau tengok isu Kampung Sungai Baru kononnya 23 Ahli Parlimen PN turun nak perjuangkan hak.
''Rupanya, tiga menteri (PN) terbabit, dalam isu pengambilalihan secara paksa.
''Saya rasa Annuar kena jawab banyak benda, tak payah kempen PRK turun ke Kampung Sungai Baru, saya nak tengok dia berani tak berdepan penduduk Kampung Sungai Baru. Saya rasa dia tak berani, dia akan lari,'' katanya dipetik mengulas kempen pembangkang di Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning, Perak yang turut membawa isu Kampung Baru dan hak Melayu tergadai.
Untuk rekod, pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru telah diwartakan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun 2021.
Pengambilan tanah tersebut membabitkan 37 lot teres, 72 unit flat dan 1 lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Commenti