Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar konflik yang tercetus antara rejim Israel dan Palestin yang disifatkannya sebagai kebiadaban manusia yang berlaku secara keterlaluan.
Berucap pada syarahan umum di Universiti Al-Azhar Al-Sharif di Kaherah, Mesir pada Ahad beliau menyifatkan dalam sejarah moden kebiadaban manusia tanpa kawalan serupa itu merupakan pertama kali disaksikan sejak perang dunia kedua.
''Belum ada dalam sejarah manusia.. di mana satu negara boleh melanggar semua peraturan dan undang-undang termasuk boleh membunuh anak-anak dan wanita, melakukan kekejaman, merampas tanah dan menakluk sebagai penjajah.
''Maka sebab itu Malaysia telah cuba menyampaikan pandangan kita kepada rakan-rakan di negara Arab dan Islam serta negara-negara membangun yang disebut Global South untuk mendesak agar Israel disingkir sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),'' katanya di gedung ilmu yang terletak di Timur Tengah itu.
Beliau berkata demikian dalam ceramah bertajuk, 'Gagah Bersama: Pandang Alam Umat dari Sudut Pemerkasaan Teknologi, Kemasyarakatan dan Ekonomi' di institusi pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia itu.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN turut mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin selepas menegaskan pendirian Malaysia yang komited menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Dalam pada itu, beliau turut memahami kedudukan negara-negara yang berhadapan kesulitan untuk menyelesaikan masalah berkenaan disebabkan keengganan rejim Israel memberikan sebarang penyelesaian.
Anwar menambah, rejim Israel dilihat seolah-olah mahu melenyapkan rakyat Palestin daripada bumi Gaza dengan melakukan genosid terhadap mereka.
Comments