![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_cac7f2a0180c4d6bbc5edfb31639987a~mv2.jpeg/v1/fill/w_660,h_434,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_cac7f2a0180c4d6bbc5edfb31639987a~mv2.jpeg)
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melihat kewajaran silibus dan modul latihan kepada pengawal keselamatan dan polis bantuan khususnya di kompleks beli-belah dikemaskini.
Sebagai mengulas insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, Sabtu lalu beliau berkata, langkah penambahbaikan latihan itu bagi meningkatkan keupayaan anggota terbabit sesuai dengan potensi ancaman semasa.
"Sudah sampai masanya untuk kita pertimbangkan supaya aspek latihan (kepada pengawal keselamatan dan polis bantuan) itu diteliti sesuai dengan potensi ancaman semasa kerana (sesuatu insiden itu) ia berlaku di tempat awam.
"Modul dan silibus latihan itu kita kemaskini, kita tingkatkan keperluan latihan kepada anggota keselamatan, syarikat keselamatan ataupun polis bantuan," katanya dipetik.
Terdahulu Saifuddin menghadiri Majlis Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Putrajaya pada Isnin.
Media melaporkan pihak polis sudah mengenal pasti suspek terlibat dalam insiden tembakan itu yang turut menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, suspek adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Mengulas lanjut insiden itu, Saifuddin memberi jaminan rakyat tidak perlu gusar dan panik memandangkan polis sudah mengambil langkah dan tindakan sewajarnya bagi membendung sebarang ancaman.
"Saya mahu bagi jaminan kesiapsiagaan pasukan polis berada pada tahap kompetensi terbaik. Ketika insiden itu berlaku, profiling (suspek) dari polis itu berlaku (diperoleh) dengan pantas dan kita sudah kenal pasti pun (suspek).
"Bukan saja kita kenal pasti suspek, kita kenal pasti rekod dia ada kes jenayah lampau. Jadi kalau kompetensi polis itu lemah, tentu kita masih terkial-kial lagi," tambahnya.
Comments