Selangor bakal memiliki gudang penyimpanan bekalan makanan untuk tempoh 3 - 6 bulan bagi diedar ke seluruh negeri sekiranya berlaku krisis kekurangan bekalan.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapan perasmian Jualan Termurah Madani di Tapak Pasar Malam, Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor hari ini.
"Kerajaan Negeri ada cita cita besar untuk mempunyai rizab makanan. Kerajaan Negeri sedang ubah suai satu gudang dan ia akan menyimpan keperluan asas seperti beras, daging, ayam supaya negeri Selangor mampu bertahan 3 - 6 bulan kalau kita berdepan krisis," katanya dalam ucapan perasmian itu.
Menurut Amirudin, pengalaman sewaktu Covid 19 lalu mengajar Selangor untuk sentiasa mempunyai stok makanan mencukupi kerana pada ketika itu pengeskport beras seperti Vietnam pernah mempunyai niat untuk menghentikan eksport berikutan kekurangan bekalan.
Selain itu, katanya, Selangor juga telah mengelolakan kedai Ehsan Mart yang menjual barang keperluan harian dengan harga diskaun hasil pengalaman Jualan Ehsan Rahmah bergerak yang ditaja Kerajaan Negeri sejak 2021.
"Jelajah Ehsan Rahmah kita laksanakan bermula tahun 2021. Kita laksanakan jualan ehsan pada 1 Sept ke seluruh negeri Selangor dengan dana dari Kerajaan Negeri dan PKPS bermula dengan perbelanjaan RM10 juta, sekarang kita belanja setiap tahun dekat RM20 - RM30 juta untuk memastikan pada rakyat dapat bekalan barangan yang cukup
"Kita pernah menghadapi kekurangan ayam dan telur, harga mahal (2022). Ini perkara yang selalu ditekankan. Kerajaan Negeri kebetulan (waktu itu) mempunyai tanah yang diewa oleh pengusaha telur ayam. Kita telah mengambil dahulu barangan tersebut untuk diagihkan dengan harga diskaun.
"Sejak 2021 - 2022 kita teruskan program sehingga hari ini, kita mengembangkan dengan menyediakan Ehsan Mart yang ada ikut DUN. Tahun depan kita bina setiap DUN ada satu Ehsan Mart," katanya.
Manakala Jualan Termurah Madani pula, kata beliau, adalah perancangan Kerajaan Persekutuan di bawah kelolaan Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga anggota Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dalam menangani kenaikan harga barang.
"Bekalan barang (di bawah Jualan Ehsan Madani) diaturkan dengan pembekal secara langsung
"Menggantikan peranan orang tengah yang langsung dibawa kepada rakyat. Jualan lebih murah daripada harga pasaran," katanya lagi.
Comments