'Ketabahan Lukman mengajar erti sabar, syukur' – Steven Sim
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

“Saya datang untuk memberi, tetapi saya pulang dengan sesuatu yang jauh lebih besar—pelajaran tentang erti sabar, cekal dan syukur.”
Demikian luahan tulus Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, selepas melalui satu pertemuan menyentuh hati bersama seorang pemuda istimewa, Muhammad Lukman bin Rosni, 30, pada satu program sumbangan di Masjid Timah, Seberang Jaya pada Sabtu.
Menerusi perkongsian di laman X, Sim memaklumkan bahawa selepas majlis selesai, beliau didatangi seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai ibu kepada Lukman yang menyatakan hasrat anaknya untuk bertemu beliau.
"Lukman merupakan anak tunggal yang dibesarkan oleh ibunya, Puan Sopiah binti Desa, seorang pengasuh. Dalam renungan mata Puan Sopiah, saya lihat kasih seorang ibu yang tidak pernah luntur, meskipun dihimpit pelbagai ujian hidup," kata Steven Sim.
Menurutnya, Lukman menghidap Cerebral Palsy sejak lahir, menyebabkan seluruh tubuhnya lumpuh dan tidak pernah berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah.
"Namun, keterbatasan fizikal itu tidak menghalang semangatnya untuk terus belajar.
"Saya diberitahu bahawa Lukman boleh membaca. Dengan hanya bergantung kepada telefon bimbit, dia belajar membaca sendiri—dan dari situ juga, dia mengenali saya.
"Tidak boleh bergerak, namun mindanya bebas. Tidak bersekolah, tetapi jiwanya sarat dengan ilmu. Dia bukan sekadar membaca—ilmu menjadi pelita hidupnya," jelasnya lagi.
Tersentuh dengan semangat luar biasa Lukman, Steven Sim kemudian mengarahkan pegawainya menyediakan sebuah tablet untuk Lukman, agar anak muda itu dapat terus menimba ilmu dan memperluas dunianya.
Menganggap sumbangan itu sebagai sesuatu yang kecil, Sim menegaskan bahawa pertemuan singkat tersebut lebih berharga dan telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya.
"Lukman tidak perlu berbicara banyak. Kehadirannya sendiri cukup untuk menyampaikan pelajaran tentang ketabahan dalam derita, kesyukuran dalam kekurangan, dan kekuatan dalam diam.
"Adik Lukman, terima kasih kerana mempertemukan saya dengan makna kekuatan yang sebenar. Semoga hidupmu sentiasa dilimpahi kebahagiaan dan rahmat Tuhan," tulisnya mengakhiri perkongsian tersebut.
Terdahulu, Steven Sim menyampaikan sumbangan berjumlah RM160,000 kepada 16 masjid dan surau meliputi enam kawasan Parlimen di Pulau Pinang.
Setiap masjid menerima sumbangan RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.
Ia melibatkan masjid dan surau di kawasan Parlimen Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Batu Kawan, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Balik Pulau.
Comments