Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan pelantikan tiga Pengerusi Mahkamah Perusahaan (MPM) yang baharu.
Menterinya Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan pada Rabu berkata pelantikan Jeyaseelan T. Anthony dan S. Vanithamany berkuat kuasa pada 17 Oktober lalu.
Sementara pelantikan Arun Kumar S Kanesin berkuatkuasa 18 November lalu.
"Bagi mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) yang ditetapkan, satu daripada inisiatif yang diambil adalah dengan melantik tiga pengerusi berpengalaman luas dalam bidang perundangan perburuhan.
"Pelantikan untuk tempoh empat tahun sekali ini sekaligus melengkapkan pengisian jawatan pengerusi di MPM," jelasnya.
MPM ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) adalah sebuah tribunal dan badan tunggal yang berperanan memutuskan kes melibatkan pembuangan kerja, perjanjian kolektif serta pertikaian perusahaan antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja yang berkaitan.
Steven Sim melalui kenyataan sama menegaskan, melalui Kerangka Strategik Malaysia MADANI (KSMM), KESUMA berhasrat menjayakan proses reformasi di bawah MPM dengan memendekkan tempoh pengendalian dan mengurangkan kes tertunggak MPM serta Mahkamah Buruh.
Selain itu akan berusaha menambah baik fasiliti dan kemudahan di kedua-dua mahkamah berkenaan.
"Diharap dengan pelantikan ini akan mempercepatkan masa pengendalian kes-kes dan seterusnya dapat meningkatkan bilangan kes-kes diselesaikan di MPM," katanya lagi.
Comments