Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan geran latihan bagi pelaksanaan Malaysian Indians Skills Initiative (MISI) KESUMA-MITRA.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, dana RM30 juta adalah selaras dengan aspirasi 3K kementerian itu untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja.
Dana tersebut jelasnya akan disalurkan kepada program-program peningkatan kemahiran belia komuniti India di bidang-bidang kritikal yang memenuhi kehendak industri dan keperluan negara menerusi HRD Corp dan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
"Kesuma menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan geran latihan berkenaan.
"Ini selaras dengan aspirasi 3K KESUMA yang bertujuan untuk meningkatkan Kemahiran, Keberhasilan dan Kebajikan pekerja," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu menurut Steven Sim, maklumat lanjut mengenai program-program latihan di bawah inisiatif itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Mengulas perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), P Prabakaran pula berkata, pengumuman dana tersebut membuktikan Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan kepada masalah serta usaha mentransformasikan masyarakat India.
Justeru beliau berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Perpaduan tidak ambil kisah masalah kaum itu adalah tidak benar sama sekali.
Comments