Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memperuntukkan RM20 juta untuk menyediakan latihan kemahiran kepada sehingga 5,000 rakyat Malaysia.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata, latihan kemahiran itu membabitkan tiga sektor utama iaitu keselamatan siber, sains data, dan kecerdasan buatan (AI) dan akan dilaksana melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan peserta akan menjalani latihan antara tiga ke enam bulan di satu daripada syarikat teknologi gergasi India, HCL Technologies.
"Perkeso akan melatih pekerja terutamanya yang dilindungi di bawah Skim Insurans Pekerjaan manakala HRD Corp akan melatih pekerja secara umum di luar skim Perkeso.
"Sasaran kami adalah melatih sehingga 5,000 pekerja Malaysia dalam sektor utama itu, mengikut modul yang disediakan oleh HCL Technologies tahun ini.
"Satu sebab mengapa Perkeso terlibat adalah kerana mereka mengendalikan Skim Insurans Pekerjaan. Jadi, dalam ekosistem latihan ini, MyFutureJobs juga akan membantu mereka untuk memadankan peluang pekerjaan yang sesuai," katanya.
Sim sebelumnya menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara HRD Corp, Perkeso dan HCL Technologies di Menara Perkeso di Kuala Lumpur pada Khamis.
Sementara itu beliau berkata, langkah yang dilaksana itu sejajar usaha kerajaan memacu aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau pembangunan tenaga kerja.
Pemeteraian MoU itu merupakan kesinambungan perbincangan yang sangat penting antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak HCL Technologies pada misi diplomatik beliau ke India pada Ogos lepas.
Comments