Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selesai menjalankan kaji selidik mengenai impak AI terhadap pasaran tenaga kerja Malaysia dalam 10 sektor strategik.
Menterinya Steven Sim berkata, sehubungan itu laporan kajian itu akan diterbitkan dalam masa terdekat bagi menjawab kebimbangan disuarakan banyak pihak berhubung ancaman AI terhadap pekerja dan industri.
Antara perkara terkandung dalam laporan itu adalah berkaitan hal ehwal seperti peraturan dan kemahiran sebagai rujukan untuk tempoh sehingga lima tahun akan datang.
"AI banyak diperkatakan sekarang. Ia adalah perlumbaan trend kerana semua orang hendak bercakap mengenai AI dan semua orang mahu menggunakan AI.
"Namun, apakah ia apabila kita memperkatakan mengenai AI? Bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kita termasuk perniagaan, industri dan pekerja?
"Laporan sedang disediakan itu bakal menunjukkan dapatan mengenai bagaimana dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, peraturan dan kemahiran akan digarap dalam pasaran tenaga kerja Malaysia. Jadi, kita berharap dapat menerbitkan laporan ini tidak lama lagi," katanya dipetik.
Terdahulu beliau menyampaikan ucapan pembukaan pada sesi eksklusif bersama wartawan tersohor antarabangsa, Mehdi Hassan, sempena Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
NHCCE 2024 bertemakan ‘Menginsankan Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Tenaga Kerja Masa Depan’ berlangsung bermula hari ini hingga 2 Oktober akan membincangkan secara terperinci berhubung AI dalam tenaga kerja masa hadapan.
Acara tahunan perdana oleh HRD Corp, agensi di bawah KESUMA itu akan menghimpunkan minda terbaik berhubung pembangunan modal insan, di peringkat antarabangsa mahupun domestik.
Kommentare