Kesatuan ekonomi ASEAN penting hadapi perang dagang AS
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Perang dagang Amerika Syarikat (AS) terhadap negara ASEAN dan khususnya China memerlukan strategi khusus untuk menghadapinya.
Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, perang dagang itu boleh ditangani kesannya sekiranya negara ASEAN lebih bersatu dari segi ekonomi, sementelah di bawah Kepengerusian Malaysia pada 2025 yang mempunyai banyak pengalaman berdagang dengan AS.
"Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dilihat mampu untuk menghadapi perang dagang AS yang semakin besar susulan daripada pengumuman tarif Presiden Donald Trump.
"Kita melihat rantau ASEAN merupakan pasaran berkembang yang semakin penting. Jadi dengan kepimpinan Anwar selaku PM Malaysia dan pengerusi ASEAN 2025, ianya dilihat mampu menghadapi perang dagang AS melalui kesatuan ekonomi negara ASEAN. Juga Malaysia perlu menerajui dagangan antara negara ASEAN," katanya.
Bagi Ahmad Nadhir, perang dagang itu turut merupakan peluang besar bagi ASEAN meningkatkan hubungan dagang antara sesama negara serantau.
Apatah lagi, katanya, banyak perusahaan multinasional yang akan menarik keluar industri mereka dari China yang dikenakan tarif melebihi 50% berpindah ke negara ASEAN yang tarifnya di bawah 30%.
"Bila kita lihat dagangan dalam kalangan negara ASEAN ianya masih rendah. Ini adalah peluang untuk meningkatkan dagangan di antara negara rantau ini menghadapi kesan tarif AS," ujarnya.
Di samping itu, kata Ahmad Nadhir lagi, hubungan Malaysia dengan negara kerjasama ekonomi BRICS juga perlu diperkukuhkan untuk mencari pasaran baharu.
"Hubungan dengan negara BRICS mampu dikuatkan dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar dalam menghadapi perang dagang.
"Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya menaruh keyakinan tinggi kepada Datuk Seri Awar selaku PM dan melihat peluang kepengerusian ASEAN untuk meningkatkan keupayaan negara ini menjadi kuasa ekonomi baharu," katanya.
Comments