Kesan tarif AS diteliti, Malaysia terbuka berdialog dengan rakan dagang - PM
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 2 min read

Malaysia masih mengkaji kesan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kekal dengan pendekatan menjalin hubungan positif dan progresif dengan semua rakan dagang sambil menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat, perniagaan serta pengeksport negara ini.
"Kesan daripada langkah tarif terkini oleh Amerika Syarikat kepada ekonomi negara masih dalam peringkat penilaian oleh kementerian dan agensi yang berkaitan diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
"Natijahnya, sebarang tindakbalas dan langkah susulan perlu dirangka secara teliti dan masih terdapat ruang untuk mengadakan perbincangan dan dialog dengan para rakan dagang utama negara," katanya dalam muat naik di Facebook usai mempengerusikan Mesyuarat National Geoeconomic Command Centre (NGCC), petang semalam.
Sebelum itu, PM sempat mengadakan perbincangan menerusi perbualan telefon bersama pimpinan negara ASEAN antaranya Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam dan Singapura bagi mendapatkan pandangan serta menyelaraskan tindak balas bersama terkait isu tarif timbal balik pentadbiran Presiden AS Donald Trump.
"Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia mahukan kesepakatan sesama negara anggota dalam mewujudkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam sebarang perundingan perdagangan antara negara, termasuk hubungan rakan dialog ASEAN-AS.
"Insya-Allah, Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN minggu depan akan terus membincangkan perkara ini dan mencari solusi terbaik buat keseluruhan negara anggota," katanya lagi.
Berkuat kuasa 9 April ini, tarif dari 10 hingga hampir 50 peratus akan dikenakan kepada hampir semua produk yang dieksport dari negara ASEAN ke AS dengan hanya beberapa pengecualian.
Tarif baharu ini dikhuatiri mengancam rantaian bekalan global, menghalang pelaburan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang perlahan di saat negara-negara ASEAN memerlukan prestasi ekonomi yang kukuh bagi membasmi kemiskinan, meningkatkan kualiti pendidikan dan menangani perubahan iklim.
댓글