Kesan tarif AS: Aktifkan segera platform pemadanan pekerjaan - MP Pulai
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Pengaktifkan dan langkah memperkukuh platform pencarian serta pemadanan pekerjaan perlu dilakukan segera sebagai strategi awal jangka pendek bagi menangani sebarang isu berkaitan kehilangan kerja rakyat Malaysia akibat pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS), khususnya melibatkan pekerja di Singapura.
Ahli Parlimen Pulai (MP) Suhaizan Kaiat berkata, tarif yang dikenakan AS ke atas Singapura bakal menyebabkan pengurangan pekerjaan rakyat Malaysia di sana kerana AS merupakan rakan dagangan antara terbesar bagi republik berkenaan.
Oleh itu, katanya, Malaysia perlu melakukan persediaan dengan mewujudkan mekanisme pemadanan pantas antara pencari kerja dan majikan, sekiranya ramai rakyat negara ini kehilangan kerja secara serentak.
"Pengenaan tarif 10 peratus ke atas Singapura oleh AS memiliki kesan rantaian. Antaranya penjimatan kos melibatkan eksport ke AS oleh industri melalui pengurangan produksi dan kemudiannya juga melibatkan sumber manusia iaitu pekerja.
"Kita semua sedar bahawa ramai rakyat Malaysa yang bekerja di Singapura. Kita juga menjangkakan sudah tentu kerajaan Singapura akan memberi perlindungan dan keutamaan kepada rakyat dan ekonomi mereka terlebih dahulu.
"Jadi, kekhuatiran berlakunya pemberhentian pekerja susulan pengumuman tarif 10 peratus oleh AS ke atas Singapura perlu dipertimbangkan oleh Malaysia.
"Maka usaha awal dan jangka pendek yang wajar dilakukan adalah dengan mengaktifkan dan memperkukuh platform pencarian dan pemadanan pekerjaan, khususnya di Johor dan Johor Bahru.

"Sekurang-kurangnya jika berlaku pemberhentian pekerja, mereka mendapat pekerjaan sementara untuk menampung hidup sebelum mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kerjaya mereka sebelum itu," kata Suhaizan ketika dihubungi Suara Keadilan.
Sejumlah 300,000 hingga 400,000 warga Malaysia bermastautin di Johor Bahru dan daerah sekitar berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura khususnya dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.
Justeru kata Suhaizan, kesan serta merta dan tindakan awal yang dijangkakan oleh pemain industri di Singapura adalah langkah penjimatan dan pengurangan pekerja seperti mana yang berlaku ketika era pandemik Covid-19 empat tahun lalu.
"Para pekerja ini ada yang telah membeli rumah, kenderaan dan pelbagai komitmen bulanan. Jika kehilangan pekerjaan tentu memberi kesan besar kepada kehidupan mereka dan keluarga," kata Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor.
Tambah beliau lagi, rundingan dan perbincangan strategi di kalangan negara ASEAN, khususnya melibatkan isu ekonomi di kawasan-kawasan sempadan dalam kalangan negara anggota perlu sentiasa dilakukan.
"Misalnya dengan meningkatkan dagangan barangan dan perkhidmatan di kalangan negara anggota serantau.
"‘Mindset’ (kerangka pemikiran) kita juga perlu berubah. Kalau sebelum ini kita lebih ‘favor’ (memihak) kepada perkhidmatan atau barangan di luar rantau, selepas ini kita perlu sepakat dan hadapi masalah ini secara bersama.
"Kita perlu tingkatkan penawaran dan permintaan di kalangan negara anggota. Blok ASEAN ini terdiri dari negara-negara kecil. Kalau tidak sepakat dan berpecah, ia akan merugikan kita semua," katanya lagi.
Comments