Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu diwakili ketuanya, Md Asyraf Zulfadhly (gambar atas, kiri) semalam menziarahi keluarga orang kurang upaya (OKU) mental yang tular dipukul sekumpulan individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman 17 Januari lalu.
Menurut Md Asyraf, beliau telah memberi sokongan moral dan sumbangan kewangan dalam perjumpaan ringkas bersama keluarga malang tersebut di sebuah restoran.
Bantuan berkenaan, katanya, disampaikan kepada isteri OKU malang itu, Faridah Abdul Karim bagi mengurangkan bebanan dan kesedihan yang ditanggung mereka.
"Semasa menziarahi keluarga. Saya dapat lihat keluarga ini terkesan dari segi emosi.
"Nampak jelas isterinya sedih dan tak cukup rehat. Sebak rasa apabila mendengar cerita mereka. Keluarga orang yang baik," kata Asyraf dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak keluarga berkenaan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat lalu, mangsa seorang OKU berusia 47 dipukul beberapa individu selepas motosikal ditunggangnya didakwa melanggar sebuah gerai jualan, menyebabkan makanan jualan peniaga tersebut jatuh dan tumpah.
Selepas kejadian, OKU yang cedera itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Dalam laporan media sebelum ini, isteri OKU tersebut, Faridah Abdul Karim meluahkan rasa marah terhadap indivdu yang memukul suaminya sedangkan kemalangan kecil tersebut boleh diselesaikan secara baik.
"Sedih marah,kecewa semua ada bila melihat video yang tular suami saya dipukul tanpa ada belas kasihan dan bagi saya ia sangat keterlaluan.
"Bagi saya perbuatan itu sangat kejam dan setakat ini hati saya sukar untuk dimaafkan," katanya dipetik Astro AWANI.
Comments