Dakwaan kerajaan menyembunyikan titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditohmah pembangkang adalah tidak benar sama sekali.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini dalam sidang media khasnya mendedahkan bahawa Jabatan Penjara hanya menerima dua arahan sebagaimana yang telah diketahui umum, iaitu pengurangan hukuman dan pengurangan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tarikh 2 Februari 2024 lalu.
Jabatan Penjara, katanya, tidak menerima titah adendum atau arahan tambahan untuk membenarkan Najib dikenakan tahanan di rumah.
"Mesyuarat Lembaga Pengampunan dipengerusikan Seri Paduka Baginda Tuanku Pahang pada ketika itu berlangsung pada 29 Jan 2024.
"Pada 2 Feb 2024 Kementerian Dalam Negeri khususnya Jabatan Penjara, kita menerima surat dari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, yang merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.
"Surat itu ada dua perkara. Pertama, disertakan minit mesyuarat yang disebut sebagai peringatan butir butir mesyuarat. Maksudnya semua perbincangan, semua keputusan yang berlangsung dalam Lembaga Pengampunan dicatit sebagai minit mesyuarat.
"Kedua, perintah yang diberikan kepada Jabatan Penjara. Perintah ini maknanya sebagai perintah melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan," katanya dalam sidang media di Bilik Sidang Media KDN, Aras 11, Setia Perkasa 1, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, petang tadi.
Menurut Saifuddin, Jabatan Penjara hanya mengikut dokumen yang diberikan kepada mereka untuk menjalankan tugas dan dokumen tersebut menyatakan arahan yang perlu dilakukan.
"Perintah itu penting kerana ianya keputusan Lembaga Pengampunan. Perintah itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengampunan.
"Dalam surat ini disebut sebagai Tuanku Agong ketika itu, Sultan Pahang. Disaksikan dengan titah perintah baginda ialah Dr Zaliha Mustafa (Menteri Wilayah Persekutuan)," katanya.
Perintah yang diberikan, tegas Saifuddin menyatakan bahawa Datuk Seri Najib dibebaskan pada tarikh pembebasan awal 23 Ogos 2028, dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Sekiranya denda tersebut tidak dibayar maka hukuman ditambah setahun maka tarikh pembebasan pada 23 Ogos 2029. Tidak wujud perintah untuk melaksanakan tahanan di rumah.
"Jadi sebagai jabatan yang melaksanakan perintah ini, perintah Pengerusi Lembaga Pengampunan dan minit yang disertakan, maka Jabatan Penjara harus amanah melaksanaknnya. Itulah yang kami laksanakan.
"Itu penting bagi menepis persepsi KDN dan Jabatan Penjara tidak patuh. Jauh daripada menyembunyikan apa apa keputusan oleh Lembaga Pengampunan," katanya sambil menunjukkan kepada wartawan surat perintah bertarikh pada 2 Feb 2024 berkenaan.
Dalam sidang media itu Saifuddin ditemani oleh dua Timbalan Ketua Setiausaha, iaitu Datuk Halim (Keselamatan) dan Datuk Mazlan (Kewangan dan Dasar).
Hari ini dalam rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, Najib dibenarkan untuk meneruskan kes semakan kehakiman kewujudan titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke 16 bagi membenarkan beliau ditahan di rumah.
Namun titah adendum itu bukanlah salah satu perintah kepada Jabatan Penjara kerana ianya didakwa dilakukan di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan dan ditafsir sebagai tidak sah serta tidak boleh dikuat kuasakan.
Oleh yang demikian, kekusutan mengenai perkara itu perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah.
Comments