Pemergian Allahyarham Datuk Dr Ahmad Shukri Mohamed semalam dikenang sebagai seorang yang berani menyatakan kebenaran di tengah tengah gelombang kezaliman rejim Dr Mahathir pada era Reformasi 1998 lalu.
Dalam catitan di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham tidak gentar menyatakan kebenaran berkenaan kejadian pada malam 20 Sept 1998 itu di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat mata lebam Anwar.
"Inna lillahiwa inna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka pemergian kenalan keluarga, Datuk Dr Ahmad Shukri Mohamed.
"Almarhum adalah pakar mata yang telah memberi rawatan kepada saya tatkala dibantai di dalam tahanan polis pada tahun 1998.
"Almarhum juga antara yang tampil sebagai saksi memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menafikan tohmahan kononnya saya telah mencederakan diri sendiri," katanya.
PM sehubungan itu mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman, keikhlasannya dikenang dan semoga keluarganya diberi kekuatan menghadapi ujian kehilangan insan yang tersayang.
Insiden mata lebam Anwar menjadi tajuk besar berita seluruh dunia apabila beliau muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Sept 1998 dengan keadaan seolah olah telah dipukul oleh polis sepanjang tahanan sejak 20 Sept.
Ketua Pembangkang di Parlimen ketika itu Tan Sri Lim Kit Siang mendesak diadakan suruhanjaya siasatan bebas dan kerajaan terpaksa menubuhkannya berikutan tunjuk perasaan jalanan berterusan oleh para reformis saban minggu.
Hasil siasatan kemudian diumumkan bahawa Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada waktu itu telah menumbuk Anwar pada malam 20 Sept menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius.
Pengesahan itu menamatkan dakwaan kononnya Anwar menumbuk diri sendiri, menekup mata dengan gelas dan sebagainya yang diungkapkan oleh ahli politik kerajaan pada masa itu.
Comments