Tindakan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas Perdana Menteri Mahiaddin Yassin daripada tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini segera dirayu oleh pihak pendakwaraya.
Menurut pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan, rayuan telah dilakukan pada hari ini juga ke atas keempat empat pertuduhan predikat tersebut.
"Sebagaimana yang semua sedia maklum, mahkamah telah membenarkan permohonan Tan Sri Mahiaddin Yasin dan seterusnya telah memerintahkan pemohon dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat tersebut.
"Pihak pendakwaan dengan ini ingin menyatakan bahawa Notis Rayuan ke atas keseluruhan keputusan tersebut telah pun difailkan pada hari ini.
"Pihak pendakwaan juga ingin menjelaskan bahawa permohonan yang telah diputuskan oleh mahkamah sebentar tadi hanyalah berkenaan dengan 4 pertuduhan bagi kesalahan di bawah seksyen 23 Akta SPRM sahaja," ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, pejabat Peguam Negara menyebut 3 lagi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram ke atas Mahiaddin masih dikekalkan dan akan dibicarakan kelak.
"Manakala 3 lagi pertuduhan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Tan Sri Mahiaddin Yasin masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 September 2023," kata kenyataan itu lagi.
Comments