Kes Orang Kurang Upaya (OKU) yang didakwa dipukul oleh pengawal keselamatan dan telefon bimbitnya dirampas oleh pihak polis selepas membuat laporan perlu ditangani secara lebih serius oleh pihak berkuasa.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Farah Ariana, kes berkenaan sewajarnya dilayan mengikut undang undang oleh pihak polis dan tidak boleh diselesaikan dengan cara ugutan atau tekanan.
"Dalam menjunjung Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, kami di AMK percaya bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata.
"Berikutan kes yang sedang tular melibatkan seorang pemandu Grab yang merupakan OKU didakwa dipukul oleh pengawal keselamatan seterusnya diberi pampasan RM 800 dan ugutan rampas telefon bimbit oleh pihak polis selepas membuat laporan adalah tidak berasas dan terpesong dari prinsip moral yang sepatutnya," katanya dalam kenyataan.
Bagi Farah, mangsa OKU yang hadir membuat laporan polis berkenaan dakwaan dipukul tidak sepatutnya diberi layanan seolah-olah beliau adalah suspek.
"Mangsa juga dikhabarkan melalui tekanan dari pihak berkuasa untuk bersetuju ‘menyelesaikan’ kes dan menerima ganti rugi jika tidak mahu telefon bimbitnya dirampas pihak polis.
"Pilihan yang diberi amat tidak masuk akal mengambil kira mangsa perlu bergantung kepada telefon bimbit untuk meneruskan pekerjaannya sebagai pemandu Grab," katanya.
Farah yang juga siswa jurusan undang undang berkata, insiden berkenaan telah menjejaskan integriti pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta kepercayaan rakyat terhadap pihak polis dalam memastikan kesejahteraan dan membela nasib golongan marhaen.
Katanya, nilai keadilan dan ketelusan mestilah dipupuk dalam setiap proses membuat keputusan serta seharusnya berlandaskan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan bagi mengelakkan hal yang sama daripada berulang.
"Sudah tiba masanya IPCMC ditubuhkan segera bagi mengekang salah laku polis dengan lebih efektif dan mempromosikan integriti yang lebih utuh dalam kalangan pihak polis berbanding IPCC sedia ada yang jauh lebih lemah peruntukan di dalamnya," kata Farah lagi.
Beliau dalam kenyataan itu turut melahirkan simpati dengan nasib yang menimpa mangsa dan mengecam semua pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Comments