Kementerian Pendidikan Tinggi tetap mengambil perhatian serius terhadap kes terbaru buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meskipun ia membabitkan pegawai kadet tahun kedua Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan, pelajar akan berada di bawah tanggungjawab UPNM bagi mengikuti kuliah bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang dan selepas itu hinggga keesokannya di bawah bidang kuasa ALK.
"Ia agak unik sikit dalam konteks UPNM kerana mereka datang ke sini, sebahagian daripadanya akan menjalani latihan pegawai kadet dan mereka diletakkan di bawah ALK. Sebelah pagi, mereka pergi ke kuliah.
"Kejadian buli membabitkan seorang pegawai kadet yang ditekap menggunakan seterika oleh seniornya berlaku dalam kawasan ALK di Sungai Besi.
"Bagaimanapun, kita tidak akan sesekali berkompromi dengan kes buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) walaupun ia berlaku di luar kawasan terbabit namun kita tidak boleh untuk melepaskan begitu sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid UPNM, Kuala Lumpur hari ini, sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di universiti berkenaan.
Zambry berkata pihaknya bersetuju dengan gesaan Perdana Menteri yang mahu kes buli diambil perhatian serius kerana ia adalah perbuatan melampau yang tidak boleh dibenarkan sama sekali.
"Seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), apa saja dan di institusi mana sekali pun, macam dalam konteks ALK, di mana-mana, di sekolah, kolej, universiti, akademi... Semuanya kita berikan perhatian serius.
"Ini kerana perbuatan buli ini yang melampau, tidak boleh kita benarkan sama sekali," katanya sambil mengesahkan siasatan dalaman sedang dijalankan oleh Kementerian Pertahanan," katanya.
Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan yang pihaknya sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di ALK, UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.
Menurut ATM yang mengesahkan kejadian itu, kes itu membabitkan pelajar kadet yang dibuli seniornya menggunakan seterika yang ditekap pada dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
Comments