top of page

Kerukunan Hidup Masyarakat Majmuk Dalam Malaysia Madani



Oleh: Mustaffa Kamil Ayub


ULASAN: Persoalan masyarakat majmuk Malaysia dan Islam, tertuang dalam pemikiran Almarhum Datuk Dr Siddiq Fadil (DDSF) melalui tulisannya (2015) "Islam dan Masyarakat Majmuk: Cabaran Aktualisasi Rahmat Sejagat-Rahmatan li Al Alamin" dan kini dirumuskan dalam Fiqh Ta'ayush.


Manakala dalam era Malaysia Madani ini pula, amat relevan untuk kita bersama tekuninya sebagai suatu penghayatan yang lebih mendalam.


Malaysia Madani dengan enam rukunnya telahpun dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia pada 19 Januari 2023 dengan visi, misi dan sejumlah strategi pentingnya. Penghayatan Malaysia Madani dengan rukun kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sewajarnya dihayati setiap rakyat Malaysia.


Dalam minda Siddiq Fadil, ada 6 aspek utama singgungannya mengenai persoalan Islam dan Masyarakat Majmuk;


1. Islam agama Rahmah yang ramah


Islam agama wahyu terakhir yang benar dan mutlak dengan mesejnya rahmatan li al-'alamin, merentasi bangsa, menembus sempadan agama dan budaya, melintas ruang dan zaman.


"Dan tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada alam seisinya" (al-Anbiya:107)


Manakala Baginda Nabi saw bersabda:


"Kasihanilah mereka yang di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh Yang di langit"


2. Menyingkapi pluraliti


Kepelbagaian (pluraliti) adalah sunnatu'llah dalam penciptaan makhluk. Justeru, perbezaan dan kepelbagaian "shu'uban wa qaba'l (kemanusiaan yang berbangsa-bangsa dan bersuku-suku) mengandungi hikmah ketuhanan dibalik kata "lita'arrafu", saling menghargai, bekerjasama demi kebaikan bersama.


Sebahagian peserta mendengar ucaptama yang disampaikan oleh Mustaffa Kamil Ayub

Umat manusia sememangnya diciptakan ALlah SWT heterogeneous,


"Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat" (Hud:118)


Prof Osman Bakar mengingatkan "How we view and manage human plurality and diversity". Pastinya ia bukan pula pluralisme John Hick di Barat.


3. Menangani pluraliti agama


Islam menerima kemajmukan dalam pelbagai ranah kehidupan manusia: agama, budaya, politik, perundangan dan lain-lainnya. Kemajmukan agama diterima dalam pengertian al-ta'addadudiyyah Al-diniyyah seperti perbahasan Yusof Al Qaradawi, Wahbah Zuhaili, Said Ramadan Al Butiy, Kamal Abd Majd dan lain-lainnya.


Berbeza agama bukan alasan untuk bermusuhan. Seluruh umat manusia terangkai dalam warga besar kesatuan keinsanan, namun bukan pula ke tahap membina "House of Ibrahim".


Sewaktu jenazah seorang Yahudi melalui hadapan Rasulullah SAW, Baginda bangun hormat. Segera sahabat-sahabat memberitahu, itu jenazah Yahudi non Muslim. Lantas Rasulullah SAW bersabda, "alaysat nafsan" (bukankah ia satu jiwa manusia?).


Manakala sewaktu ibu kepada Al Harith Ibn Abi Rabi'ah yang beragama Kristian meninggal, jenazahnya dihantar ke kubur oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW.


4. Menyingkapi pluraliti budaya dan politik


Sebagaimana kita menerima kemajmukan agama dalam pengertian al-ta'addadudiyyah Al-diniyyah seperti yang digariskan dalam al Quran, Al Sunnah dan huraian para ulama, kita juga menerima kemajmukan budaya dan diletakkan atas prinsip "kepelbagaian dalam bingkai kesatuan".


Kepelbagaian parti politik pula, pada dasarnya boleh membawa maslahah serta ruang rakyat memilih yang terbaik.


Manakala politik tahaluf boleh membawa maslahah jika bermotif sihat, keadilan, jujur dan bijaksana.


5. Cabaran pembinaan bangsa Malaysia


Dalam proses pembinaan bangsa (nation building), pendidikan adalah sektor kuncinya termasuklah penguasaan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu.


Penguasaan Bahasa Inggeris penting, namun jangan sampai terperangkap dalam jebakan imperialisme dan hegemoninya.


Malahan penguasaan bahasa Arab, Mandarin, Tamil dan seumpamanya adalah suatu kelebihan bagi sang penguasanya


6. Pemugaran budaya dialog


Di tengah zaman yang diwarnai perbenturan (clash), kita kibarkan bendera sejahtera (salam). Dialog dan debat yang berhikmah adalah pendekatan Qur'ani. Juga memahami adabul ikhtilaf dalam berbeza pandangan.


Demikianlah 6 sentuhan Siddiq Fadil dalam persoalan Islam dan masyarakat majmuk.


Susur galur masyarakat majmuk Madani dan sivil


Abad ke 7 Masihi, Rasulullah SAW membina masyarakat Madani majmuk Madinah dengan Sahifah Madinah. Menurut Prof Hamidullah masyarakat majmuk Madinah (622M) sekitar 50% Muslim, 30% Nasrani, 20% Yahudi dan sejumlah kecil Zoroastrian.


Ucaptama mengenai kemajmukan kaum di Negara Madinah dan Malaysia Madani yang perlu diinsafi

Abad 9-15M, rancak perbahasan Al Farabi (Madinatul Fadilah), Ibn Miskawih (mujtama' Madani), Ibn Khaldun (Umran Hadari). Ia sampai ke Alam Melayu, dan juga berlaku interaksi Muslim Andalusia yang maju dalam pelbagai bidang dan Dunia Barat (Dark Ages ke Enlightenment, ke Renaissance).


Abad 16-20M, Hobbes, John Locke, Ernest Gellner, Adam Furgeson, Alexis Tocqueville, Hegel, Marx, Antonio Gramci dan lain-lain mengembangkan masyarakat sivil di Barat walaupun amat kuat dilatari faham sekularisme.


Cabaran semasa


Pergolakan geopolitik dunia melatari cabaran semasa: Perang Ukraine-Rusia, keganasan Zionis di Palestin, perang dagang AS-China, kemunculan BRICS, VUCA (Volatility , Uncertainty, Complexity, Ambiguity) dan seumpamanya. Dalam

latar belakang inilah, nation building Malaysia diuji.


Nation building Malaysia umumnya masih belum kukuh dan menghadapi pelbagai kendala dalam perjalanannya.


Wujud juga muta'khir ini semacam gejala khawarij, takfiri dan meringankan budaya fitnah.


Agenda merakyatkan Malaysia Madani


Gerakan pencerahan rakyat perlu giat disemarakkan. Pendekatan ke akar umbi sewajarnya suatu kemestian.


Pengemblengan pempengaruh (influencer) dan medsos suatu keperluan mendesak.


Keaktifan peranan NGO dalam mempromosi kerukunan hidup masyarakat majmuk, persefahaman ummah serta merakyatkan Malaysia Madani amatlah didambakan.


Sesungguhnya, inilah momen bagi kita melakar dan melaksanakan strategi membangun masyarakat majmuk Madani di Malaysia. Segala resepi telah tersedia.


_____________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Lembaga Pengarah UiTM


*Tulisan ini sempena Seminar Pemikiran Dato Dr Siddiq Fadil, di UiTM Pulau Pinang, 13 Oktober 2024 anjuran Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) Pulau Pinang

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page