Kerajaan Perpaduan yang baru berusia 7 bulan berprestasi tinggi apabila berjaya membentangkan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat semalam.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim kertas putih itu adalah jawapan kepada masalah membelenggu sektor kesihatan Malaysia yang tidak berjaya diselesaikan sejak sekian lama.
Katanya, perancangan kertas putih yang berpandangan jauh sehingga 15 tahun ke hadapan itu merupakan jaminan Kerajaan untuk memastikan rakyat akan menerima perkhidmatan perubatan komprehensif yang tidak terikat kepada kemampuan.
"Ia memberi makna bahawa rakyat golongan bawahan yang berpendapatan rendah akan terus menerima perkhidmatan kesihatan di hospital hospital Kerajaan dan klinik Kerajaan dengan bayaran yang rendah dan termampu oleh rakyat seperti yang ada sekarang ini," kata Hassan dalam satu kenyataan.
Selain itu, menurut beliau, kertas putih itu hanya akan dilihat berjaya sekiranya reformasi perkhidmatan kesihatan mampu menyelesaikan isu rawatan pakar kepada rakyat biasa.
Katanya, umum mengetahui hospital kerajaan memberi perkhidmatan kepada lebih 75% penduduk Malaysia tetapi mempunyai tenaga doktor pakar tidak mencukupi.
"Jadi perlu direformasikan supaya jangan terus berlaku jumlah 75% bilangan doktor pakar yang ada kini berkhidmat hanya untuk 25% bilangan rakyat golongan kaya di hospital hospital pakar swasta.
"Manakala di hospital hospital Kerajaan pula hanya 25% sahaja bilangan doktor pakar yang ada untuk memberi perkhidmatan kepada 75% jumlah penduduk yang merupakan golongan rakyat bawahan.
"Ketidakseimbangan ini mestilah dibetulkan supaya tujuan kertas putih ini yang berusaha untuk memperkasakan kesihatan rakyat dan memastikan sistem kesihatan negara berdaya tahan, dapat dicapai," katanya lagi.
Kertas Putih Kesihatan semalam diluluskan selepas dibahaskan oleh 28 Ahli Parlimen selama hampir empat jam.
Comments