Oleh: Akmal Manaf
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah signifikan ke arah memperkasakan program bandar pintar yang komprehensif, bakal memanfaatkan penduduk Kota Kinabalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama strategik itu antara lain bertujuan meningkatkan infrastruktur digital, memperluas akses kepada teknologi komunikasi serta melaksanakan program pendidikan digital untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Di bawah MoU itu katanya, liputan internet akan ditambah baik di seluruh kawasan Kota Kinabalu dalam menyokong perkhidmatan digital Kerajaan Negeri Sabah dan penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui.
''Di samping itu, MCMC akan menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DBKK dalam aspek yang berkaitan dengan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.
''MoU ini turut meneroka kerjasama berkaitan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kawasan Kota Kinabalu yang menyasarkan penglibatan komuniti di kawasan NADI,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena majlis menandatangani MoU itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Menjelaskan lebih terperinci, Fahmi berkata, di bawah MoU itu turut dilaksanakan usaha untuk mempertingkatkan keselamatan awam melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan command centre, serta sistem pengurusan pengangkutan awam.
Selain itu, pendidikan digital turut diperkasakan dan meningkatkan penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.
''Inisiatif–inisiatif ini perlu untuk menjadikan bandaraya Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya pintar yang efisien, inovatif dan lestari.
''Perkembangan ini juga sekali gus dapat melonjakkan ekonomi negeri Sabah ke tahap yang lebih baik.
''Kerjasama antara MCMC dengan DBKK adalah bukti bahawa pendekatan kolaboratif adalah langkah terbaik untuk memacu inisiatif ini,'' ujarnya lagi.
Melalui usaha kolektif itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan boleh membuka potensi penuh bandar pintar, memacu inovasi, mengubah industri dan membentuk Malaysia yang lebih terhubung.
Justeru, beliau meletakkan harapan besar untuk melihat kerjasama strategik itu dapat menyokong DBKK mencapai sasaran menjadi bandar pintar seperti yang dihasratkan.
''Kepakaran dan kerjasama daripada pihak MCMC amat diperlukan dalam menjayakan program ini.
''Mudah-mudahan dengan pelaksanaan bandar pintar ini akan merintis kepada satu era baharu kepada Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar pintar yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bandar-bandar pintar lain di negara ini,'' katanya lagi.
Comments