Kerajaan Malaysia bersedia memberi penekanan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan New Zealand dalam pelbagai bidang khususnya pelaburan, perdagangan serta pelancongan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan itu dibuat ketika pertemuan dengan rakan sejawatannya, Christopher Luxon hari ini.
"Perdana Menteri New Zealand baharu menunjukkan komitmen negaranya untuk mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin, selain perbincangan yang komprehensif terhadap isu yang memberi kesan ke atas rantau ini, krisis di Ukraine serta situasi di Gaza," katanya pada sidang media di Putrajaya.
Jelas Perdana Menteri, kedua-dua pihak juga sebulat suara untuk meningkatkan kerjasama dalam pertukaran pelajar dan industri halal.
Terdahulu, Luxon tiba bersama delegasinya pada pukul 10 pagi, dengan disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Perdana Menteri New Zealand itu kini dalam rangka lawatan ke Malaysia bermula semalam hingga 3 September.
Ini merupakan lawatan pertama Luxon ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri New Zealand pada November 2023.
Comments