
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sepanjang lebih dua tahun lalu telah bekerjasama dengan baik dan memudahkan pembangunan kepada rakyat Sabah diatur.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan politik yang stabil di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan maka lebih banyak fokus dapat ditujukan kepada pelbagai aspek pembangunan, baik jangka pendek dan panjang di negeri itu.
"Ini sekaligus membantu kerajaan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat, termasuk di Sabah, selain berjalan seiring dengan perubahan teknologi dunia seperti transisi tenaga, melaksana pelan perindustrian dan kecerdasan buatan (AI)," katanya dalam muat naik di Facebook usai Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran, semalam.
Dalam majlis yang sama, Anwar turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, fakir miskin, ibu tunggal, wakil rumah kebajikan, masjid dan surau terpilih.
"Di kesempatan yang ada, saya juga menyantuni masyarakat setempat dalam mengeratkan silaturrahim bersama pemimpin, warga Tuaran dan kawasan sekitarnya.
"Di penghujung Ramadan ini, moga keberkatan bulan yang mulia terus dirasai dan dinikmati Ramadan kita semua dalam mengukuhkan keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara yang kita cintai," katanya lagi.
Sebelum itu PM sewaktu menghadiri mesyuarat di Pejabat Daerah Tuaran mengadakan perbincangan prestasi pencapaian pelaksanaan projek Rancangan Malaysia di Sabah termasuk membicarakan status projek sakit, permohonan projek keutamaan negeri bagi tahun 2026 dan status kemiskinan tegar.
Turut disentuh inisiatif-inisiatif program Sabah Maju Jaya (SMJ), status Projek SejaTi MADANI di Sabah, status Projek Kampung Angkat MADANI di Sabah, status Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta permohonan tambahan pembaikian jalan raya di negeri Sabah.
Comments