Umat Islam seharusnya menunjukkan contoh teladan baik dalam bekerja dan beramal.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepimpinan yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dalam peristiwa Israk dan Mikraj wajar dijadikan panduan bagi umat Islam Malaysia.
"Keistimewaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW melalui perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan spiritual yang hadir bersama amanah solat punya dampak yang besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat.
"Simbol kepimpinan Baginda Rasulullah SAW mengetuai solat dalam kalangan para Rasul yang lain jua mengambarkan kepentingan umat Islam yang dipayungi oleh Rasulullah SAW.
"Pengalaman unik yang dialami oleh Baginda harus dibugar bagi memupuk semangat berkerja lebih kuat dan berdisplin mencapai itqan fil amal serta teguh kepada pengabdian penuh kepada Allah SWT," kata Anwar dalam kenyataan sempena Israk dan Mikraj hari ini.
Selain itu, kata beliau ibrah dari peristiwa besar tersebut juga penting dalam konteks sejarah umat Islam, khususnya peranan dua kota suci Mekah dan Baitul Maqdis yang pada hari ini berdirinya negara Palestin yang masih dijajah Israel.
"Sehubungan itu, ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus menjadi sebahagian sikap konsisten kita dalam memperjuangkan maruah dan keadilan untuk rakyat Palestin," katanya lagi.
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan mukjizat agung yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
Antara peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj adalah perintah kewajipan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas orang Islam.
Comments